Sabtu, 2 March 2024 | 3:41pm
Papan tanda arah menunjukkan Titik Nol Nusantara (ground zero Nusantara), bakal ibu negara Indonesia, di Sepaku, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur. - Foto AFP
Papan tanda arah menunjukkan Titik Nol Nusantara (ground zero Nusantara), bakal ibu negara Indonesia, di Sepaku, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur. - Foto AFP

Jokowi mula bekerja di ibu kota Nusantara mulai Julai

JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan bahawa beliau akan memulakan kerja dari ibu negara baru, Nusantara, di Kalimantan Timur pada Julai, 2024.

"Saya akan berpindah pada bulan Julai yang akan datang. Saya akan menunggu pembinaan lapangan terbang dan lebuh raya selesai terlebih dahulu," katanya, yang dipetik agensi berita Antara.

Bercakap di luar majlis pelancaran pembangunan beberapa bangunan di daerah kewangan ibu negara baharu, Jokowi menekankan bahawa, apabila siap, Nusantara akan dapat dihubungi dari lapangan terbang khusus bandar itu dalam masa 15 minit.

Selain itu, katanya, lebuh raya bertol akan membantu memendekkan masa perjalanan dari Balikpapan, bandar besar terdekat, ke Nusantara dari dua jam kepada 45 minit.

Imej komputer dikeluarkan Nyoman Nuarta pada 2022 menunjukkan ilustrasi pelan Istana Presiden Indonesia di Kalimantan Timur. - Foto AFP
Imej komputer dikeluarkan Nyoman Nuarta pada 2022 menunjukkan ilustrasi pelan Istana Presiden Indonesia di Kalimantan Timur. - Foto AFP

"Kami mengharapkan bahawa lebuh raya tol dan kemudahan lapangan terbang akan membuat trafik dari lapangan terbang ke ibu negara baru menjadi lebih sibuk," katanya pada satu acara lain semasa meletakkan batu asas pejabat Bank Negara Indonesia (BNI) di Nusantara.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Pekerjaan Awam dan Perumahan Rakyat, Basuki Hadimuljono, akan berpindah ke Nusantara pada Jun, iaitu lebih awal daripada beliau.

Mengenai pembangunan daerah kewangan bandar berkenaan, Jokowi yakin bahawa pembukaan lebih banyak pejabat bank di ibu negara baru akan menyokong konsep bandar pintar Nusantara kerana bank terbabit akan membawa sistem perbankan digital yang canggih.

"Ia akan konsisten dengan konsep bandar pintar yang kami galakkan. Ia pasti akan berlaku, tetapi ia memerlukan masa," katanya.

Beliau juga yakin bahawa peningkatan jumlah pelaburan di ibu negara baru akan mempercepatkan proses pembangunan Nusantara, yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya satu dekad.

Pemerintah Indonesia menetapkan matlamat untuk memulakan aktiviti pentadbiran di ibu negara baru pada 17 Ogos 2024, sempena ulang tahun kemerdekaan Indonesia yang ke-79. - AGENSI

Berita Harian X