Jumaat, 1 March 2024 | 1:02pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Pasar Rakhine dibom, 12 maut, puluhan lagi cedera

YANGON: Satu letupan membunuh sekurang-kurangnya 12 mangsa dan mencederakan puluhan orang awam di pasar yang sibuk di negeri Rakhine, Myanmar.

Junta tentera Myanmar dan kumpulan pemberontak etnik Tentera Arakan (AA) saling menyalahkan satu sama lain berhubung tragedi serangan itu.

Pertempuran menggegarkan Rakhine sejak AA menyerang pasukan keselamatan pada November lalu, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak rampasan kuasa junta tentera Myanmar pada 2021.

AA adalah salah satu daripada beberapa kumpulan etnik minoriti bersenjata di wilayah sempadan Myanmar, yang kebanyakannya bertempur dengan tentera sejak kemerdekaan diperoleh daripada Britain pada 1948, bagi mendapatkan kuasa autonomi dan kawalan sumber yang menguntungkan di situ.

Sayap politik AA, dalam satu kenyataan berkata, awal semalam sebuah kapal tentera laut junta membedil pasar popular 'pelabuhan Korea' di ibu negeri Sittwe, membunuh 12 orang awam dan mencederakan 31 yang lain.

Katanya, sejumlah 50 orang pula mengalami luka ringan, dengan AA turut menuduh junta tentera sengaja menyasarkan penduduk awam.

Junta pula berkata, letupan itu adalah akibat 'kecuaian tembakan artileri berat' oleh AA, yang membunuh dan mencederakan sebilangan orang tempatan, namun tidak dinyatakan jumlah mangsa.

Media tempatan berkata, tujuh orang terbunuh dan sekitar 30 orang lagi cedera, bagaimanapun ia tidak dapat disahkan oleh AFP.

Tentera Junta sudah menawan Sittwe dalam beberapa minggu kebelakangan ini, namun pejuang AA telah memperoleh kejayaan di daerah sekitar.

Komunikasi dengan bandar pantai itu juga menjadi begitu sukar, dengan kebanyakan rangkaian mudah alih terputus manakala pertempuran kini turut merebak ke negara jiran India dan Bangladesh.

Awal bulan lalu, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh di Bangladesh selepas peluru mortar dilepaskan dari Myanmar dan mendarat di seberang sempadan.

Ia disusuli dengan kenyataan India mengarahkan rakyatnya yang masih berada di Rakhine supaya meninggalkan Myanmar. - AFP

Berita Harian X