Rabu, 28 Februari 2024 | 8:32pm
Foto diambil pada 15 Februari lalu menunjukkan kapal tentera laut China berhampiran beting Scarborough dikawal China di perairan Laut China Selatan. - AFP
Foto diambil pada 15 Februari lalu menunjukkan kapal tentera laut China berhampiran beting Scarborough dikawal China di perairan Laut China Selatan. - AFP

'Kehadiran kapal perang China di perairan Filipina membimbangkan' - Marcos

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, hari ini menyifatkan kehadiran kapal perang China di perairannya pantainya sebagai 'membimbangkan'.

Kenyataan itu dibuat selepas pengawal pantai Filipina mengesan kehadiran kapal tentera laut China minggu lalu ketika misi penyaluran bantuan kerajaan kepada nelayan Filipina berhampiran beting Scarborough yang dikawal China.

Rantaian segi tiga terumbu dan batu terletak 240 kilometer (km) di barat pulau utama Luzon di Filipina dan hampir 900 km dari daratan China yang paling hampir di Hainan.

China merampas beting itu dari Filipina pada 2012. Sejak itu, ia menghantar pengawal pantai dan kapal lain yang disifatkan Manila sebagai mengganggu kapal milik Filipina dan menghalang nelayannya daripada mendekati lagun yang kaya dengan hasil laut.

"Ia membimbangkan. Sebelum ini, hanya pengawal pantai China beroperasi di kawasan kita. Kini tentera laut mereka pula menyertainya bersama bot nelayan.

"Keadaan sudah berubah," kata Marcos kepada pemberita sebelum berlepas ke Australia bagi menghadiri sidang kemuncak berkaitan ASEAN.

Dalam kejadian terbaharu, sebuah kapal milik Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina menerima pintasan isyarat radio daripada kapal perang China pada 21 Februari ketika belayar menuju beting.

Menurut pengawal pantai, sebuah lagi kapal tentera laut China dikesan 18.5 km dari BRP Datu Sanday ketika sedang mengagih minyak kepada nelayan Filipina berhampiran terumbu pada 23 Februari.

Marcos berkata, Manila akan terus mempertahankan wilayah maritimnya dan menegaskan nelayan Filipina perlu dibenarkan menangkap ikan di perairan negara itu.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan mengingkari keputusan tribunal antarabangsa dengan mengatakan dakwaan itu tidak mempunyai asas undang-undang. - AFP

Berita Harian X