Rabu, 28 Februari 2024 | 7:26pm
Seorang petani melihat tanaman padinya yang kering akibat cuaca panas melampau di wilayah Ca Mau, selatan Vietnam. - AFP
Seorang petani melihat tanaman padinya yang kering akibat cuaca panas melampau di wilayah Ca Mau, selatan Vietnam. - AFP

Kemarau luar biasa jejas jelapang padi Vietnam

HANOI: Gelombang cuaca panas luar biasa berpanjangan dilapor melanda selatan Vietnam termasuk hab perniagaan Ho Chi Minh City dan wilayah jelapang padi Lembangan Mekong, sepanjang bulan ini.

Beberapa kawasan lembangan itu turut mengalami kemarau dengan petani bergelut memindahkan hasil tanaman berikutan paras air rendah di terusan rantau berkenaan.

Ahli meteorologi memberitahu AFP, musim cuaca panas melampau bermula 9 Februari lalu dengan suhu mencecah sehingga 38 darjah Celsius, sekali gus merekodkan paras tinggi tidak normal di selatan Vietnam.

Wilayah itu biasanya menyaksikan kemuncak cuaca panas sekitar 39 darjah Celsius pada April atau Mei.

Seorang petani di wilayah Ca Mau dalam Lembangan Mekong, Hong Chi Hieu, berkata keadaan kemarau sangat teruk dan membuatkan permukaan tanah amat kering, sekali gus menyebabkan masalah sistem pengairan.

"Kebanyakan petani di sini menanam padi. Kami sepatutnya menuai hasil tanaman agak memberangsangkan tahun ini tetapi keadaan terusan yang kering memberi kesan buruk kepada pengangkutan hasil tuaian," katanya.

Ketua peramal di Pentadbiran Meteorologi dan Hidrologi Selatan, Le Dinh Quyet, berkata fenomena El Nino dan kesan umum perubahan iklim global menyumbang kepada musim kemarau luar biasa panjang yang masih berterusan.

Di peringkat global, 2023 menjadi tahun paling panas dalam rekod, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).

Bulan lalu, agensi itu memberi amaran 2024 mungkin lebih panas kerana corak iklim El Nino berlaku secara semula jadi dan melanda pertengahan tahun lalu.

Ia sering mengakibatkan suhu global meningkat setahun berikutnya.

Saintis memberi amaran punca cuaca ekstrem disebabkan oleh pemanasan global.

Agensi berita kerajaan, VNExpress melaporkan, lebih 80 terusan kering di daerah Tran Van Thoi di wilayah Ca Mau. - AFP

Berita Harian X