Rabu, 28 Februari 2024 | 2:56pm
Perairan Beting Scarborough yang menyaksikan tuntutan bertindih membabitkan Filipina dan China, sehingga berlaku beberapa pertembungan tegang sejak kebelakangan ini. - Foto AFP
Perairan Beting Scarborough yang menyaksikan tuntutan bertindih membabitkan Filipina dan China, sehingga berlaku beberapa pertembungan tegang sejak kebelakangan ini. - Foto AFP

ASEAN harus waspada kehadiran tentera China di Laut China Selatan - Marcos Jr

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menyifatkan kehadiran tentera laut China di Laut China Selatan (LCS) sebagai sesuatu yang harus membimbangkan ASEAN.

Katanya, Filipina secara tegas akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah maritim dan melindungi nelayannya, seperti mana yang perlu dilakukan negara ASEAN lain.

"ASEAN, khususnya negara yang terbabit secara langsung, harus mengambil iktibar daripada apa yang dihadapi Filipina di Laut China Selatan sekarang.

"ASEAN harus bersatu menyatakan pendirian tegas berhubung sempadan maritim ini bagi menghadap tuntutan China. Kita boleh selesaikan perbezaan pendapat sesama kita berteraskan semangat kekitaan dalam gagasan ini," katanya.

Tambah beliau, pertembungan dengan China semakin kerap sejak awal 2023 apabila China mengambil langkah menuntut wilayah maritim di sembilan garis putus mengikut peta yang diiktiraf negara itu saja, merangkumi hampir keseluruhan Laut China Selatan.

Jika dibandingkan dengan sempadan maritim yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, tuntutan China itu bertindih dengan lima negara ASEAN iaitu Vietnam, Malaysia, Filipina, Brunei dan Indonesia.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) minggu lalu melihat kehadiran ketara kapal tentera laut China ketika operasi rondaan oleh sebuah kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (BFAR) di Beting Scarborough, lokasi terumbu yang menjadi pertikaian di perairan itu.

PCG mendakwa kapal BFAR cuba dihalang oleh kapal Pengawal Pantai China (CCG), ketika mereka sedang mengagihkan minyak kepada nelayan Filipina di kawasan itu.

"Kami terus menyokong semua nelayan kami yang mencari rezeki di kawasan ini dan akan terus membantu mereka walaupun wujud cubaan untuk menghalang mereka," katanya kepada pemberita sebelum berlepas untuk lawatan kerjanya ke Australia.

Beting Scarborough, terus menjadi titik pertikaian sejak China merampasnya dari Filipina pada 2012.

Sejak itu, Beijing mengerahkan bot peronda yang dikatakan Manila mengganggu kapal Filipina serta menghalang nelayannya daripada mengakses beberapa kawasan yang kaya dengan ikan di sana.

Pemasangan penghadang terapung oleh China sebelum ini turut menghalang kemasukan kapal Filipina ke sekitar Laut China Selatan.

Beting Scarborough terletak 240 kilometer (km) di barat pulau utama Luzon di Filipina dan hampir 900km dari daratan terdekat China iaitu Hainan.

Perselisihan antara China dan Filipina di sekitar terumbu itu sejak tahun lalu menyaksikan wujud beberapa perlanggaran, dengan kapal China, yang turut bertindak menembak meriam air ke arah bot Filipina. - REUTERS

Berita Harian X