Isnin, 26 Februari 2024 | 12:18pm
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - Foto fail AGENSI
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - Foto fail AGENSI

Thaksin diramal main peranan penting dalam politik Thailand

BANGKOK: Dalam satu tinjauan pendapat dikeluarkan semalam mendapati kebanyakan responden atau 50.38 peratus percaya bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra akan berperanan sebagai penasihat politik dalam Parti Pheu Thai.

Bagaimanapun 26 peratus pula menjangkakan kehadiran beliau berpotensi mengurangkan populariti parti dengan ketara .

Tinjauan pendapat mengenai kuasa dan politik Jabatan Koreksional yang dilaksanakan sejak pembebasan Thaksin minggu lalu dijalankan melalui telefon oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA) daripada 20 hingga 22 Februari.

Seramai 1,310 responden berumur lebih 18 tahun di seluruh negara memberi maklum balas seperti dilaporkan portal berita Thai PBS World.

Kebanyakan responden menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pembebasan Thaksin secara parol, selepas sabitan atas tuduhan rasuah tetapi perkara itu tidak akan membawa kepada demonstrasi jalanan.

Berkenaan kuasa Jabatan Koreksional pula, kebanyakan responden atau 40 peratus tidak bersetuju dengan kuasanya, sama ada dalam mengurangkan hukuman atau memberikan parol kepada banduan yang disabitkan kesalahan di mahkamah.

Selain itu, 41.6 peratus responden berpendapat keanggotaan Lembaga Parol Jabatan Koreksional perlu membabitkan pakar bebas.

Kebanyakan responden juga meramalkan persaingan politik antara Parti Pheu Thai dan parti pembangkang, Move Forward akan menjadi lebih sengit, malah akan ada rombakan Kabinet tidak lama lagi termasuklah Thailand akan mempunyai dua 'premier' (Srettha Thavisin dan Thaksin). - AGENSI

Berita Harian X