Ahad, 25 Februari 2024 | 4:05pm
Anggota Pengawal pantai China yang menaiki bot getah (kanan) mengikuti sebuah bot nelayan Filipina (kiri) ketika misi penghantaran bekalan oleh Biro Sumber Perikanan dan Akuatik Filipina (BFAR) kepada nelayan di Beting Scarborough di Laut China Selatan. - Foto AFP
Anggota Pengawal pantai China yang menaiki bot getah (kanan) mengikuti sebuah bot nelayan Filipina (kiri) ketika misi penghantaran bekalan oleh Biro Sumber Perikanan dan Akuatik Filipina (BFAR) kepada nelayan di Beting Scarborough di Laut China Selatan. - Foto AFP

Filipina tuduh China cuba sekat kapalnya di Beting Scarborough

MANILA: Filipina hari ini menuduh pengawal pantai China cuba menghalang kapal kerajaannya yang mahu menghantar bekalan kepada nelayan.

Ini menjadi kejadian kedua didakwa berlaku berhampiran terumbu yang dipertikaikan, Beting Scarborough di laut China Selatan, dalam tempoh dua minggu ini.

Pengawal Pantai Filipina berkata, kapal BRP Datu Sanday sedang membekalkan minyak kepada nelayan berhampiran Beting Scarborough apabila mendakwa mereka diganggu sebuah kapal Pengawal Pantai China dan tiga lagi kapal China pada Khamis lalu.

Katanya, dalam laporan kejadian itu, tiga daripada empat kapal China itu datang dalam jarak 100 meter dari haluan Datu Sanday, dan turut melakukan sekatan, sekatan transponder kapal dan 'gerakan berbahaya' yang lain.

"Walaupun dengan tindakan itu, kapten BRP Datu Sanday mempamerkan kemahiran pelayaran yang sangat baik dan berjaya mengelak percubaan menyekat," kata Commodore Jay Tarriela, jurucakap pengawal pantai Filipina mengenai isu Laut China Selatan.

Seminggu sebelum itu, Pengawal Pantai Filipina berkata, BRP Datu Tamblot menghadapi keadaan sama di kawasan itu.

Beting Scarborough - rantaian segi tiga terumbu dan batu - menjadi titik ketegangan antara kedua-dua negara sejak China merampasnya daripada Filipina pada 2012.

Kapal Pengawal Pantai China menghampiri kapal Filipina, BRP Datu Sanday, ketika misi penghantaran bekalan kepada nelayan di Beting Scarborough di Laut China Selatan. - Foto AFP
Kapal Pengawal Pantai China menghampiri kapal Filipina, BRP Datu Sanday, ketika misi penghantaran bekalan kepada nelayan di Beting Scarborough di Laut China Selatan. - Foto AFP

Sejak itu, Beijing mengerahkan bot peronda, yang didakwa Manila sebagai mengganggu kapal Filipina dan menghalang nelayan Filipina, daripada mengakses lagun yang kaya dengan hasil ikan di situ.

Di media sosial, Global Times milik kerajaan China semalam melaporkan, Pengawal Pantai China sudah menangkis 'pencerobohan' Datu Sanday 'apabila kapal itu secara haram menceroboh perairan bersebelahan dengan Pulau Huangyan China' nama yang diberi China kepada beting berkenaan.

Beting Scarborough terletak 240 kilometer (km) di barat pulau utama Luzon di Filipina dan hampir 900km dari daratan China yang paling hampir iaitu Hainan.

China mendakwa memiliki hampir keseluruhan laut dan mengabaikan keputusan tribunal antarabangsa bahawa dakwaannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Ketegangan antara China dan Filipina di sekitar terumbu yang dipertikaikan tahun lalu menyaksikan perlanggaran dan kapal China menembak meriam air ke arah bot Filipina. - AFP

Berita Harian X