Jumaat, 23 Februari 2024 | 2:25pm
Kakitangan perubatan melakukan semburan ubat nyamuk bagi membendung penularan nyamuk Aedes yang membawa viruis denggi dan Zika. - Foto AFP
Kakitangan perubatan melakukan semburan ubat nyamuk bagi membendung penularan nyamuk Aedes yang membawa viruis denggi dan Zika. - Foto AFP

Singapura hadapi ancaman virus Zika

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang memantau penularan Zika di Boon Lay Place selepas mendapati ujian mengenai nyamuk dan air sisa di kawasan itu menemui tanda-tanda virus terbabit.

Terdapat satu kes Zika dilaporkan di Boon Lay Place pada Disember 2023 tetapi tiada kes dikesan sejak itu, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan bersama pada 22 Februari.

"Walaupun MOH dan NEA telah meningkatkan langkah kawalan berjaga-jaga, kami tidak boleh menolak kemungkinan terdapat lebih kes (Zika), kerana kebanyakan orang yang dijangkiti mungkin menunjukkan gejala ringan atau tiada gejala," katanya.

Menurut kenyataan sama, MOH telah memaklumkan doktor supaya menguji pesakit yang menunjukkan gejala yang dikaitkan dengan Zika, terutama mereka yang tinggal atau bekerja di kawasan Boon Lay.

Penduduk di persekitaran kawasan berkenaan, khususnya wanita hamil, turut dinasihatkan supaya melindungi diri dan memantau kesihatan mereka.

"Mereka harus mendapatkan rawatan perubatan jika tidak sihat dan mempunyai gejala jangkitan virus Zika, termasuk ruam, demam, sakit sendi, sakit otot, sakit kepala, konjunktivitis atau mata merah," kata kenyataan itu.

Pesakit juga harus memaklumkan kepada doktor mereka mengenai lokasi kediaman dan tempat kerja mereka.

Seperti virus denggi, virus Zika terutamanya menular melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti. Ia juga boleh disebarkan daripada wanita hamil kepada janinnya atau melalui hubungan seks.

Sejak November 2023, NEA telah menjalankan operasi kawalan nyamuk secara intensif di kawasan Boon Lay, tempat di mana kes denggi turut dilaporkan.

Usaha untuk membendung virus itu termasuk menyembur racun serangga di taman perumahan serta pemeriksaan dan pembunuhan jentik-jentik nyamuk di kawasan umum dilakukan untuk memusnahkan sebarang pembiakan nyamuk.

"Penduduk digesa membenarkan pegawai NEA memeriksa premis mereka, dan menyembur racun serangga bagi pembunuhan segera nyamuk dewasa, sekali gus menghentikan rantaian penularan Zika," kata kenyataan itu.

Walaupun jarang berlaku, jangkitan daripada virus Zika juga boleh menyebabkan mikrosefali pada bayi dalam kandungan wanita hamil.

Mikrosefali adalah keadaan yang menyebabkan saiz kepala bayi baru lahir lebih kecil atau tidak membesar lagi.

Tiga kes Zika telah dikesan di Singapura pada 2024 sehingga 8 Februari. - AGENSI

Berita Harian X