Sabtu, 17 Februari 2024 | 2:26pm
Pegawai kempen calon presiden Indonesia, Ganjar Pranowo (tengah) dan Anies Baswedan (kanan) mendakwa terdapat penipuan undi, berkutan pengumuman kemenangan Prabowo Subianto (kiri). - Foto AFP
Pegawai kempen calon presiden Indonesia, Ganjar Pranowo (tengah) dan Anies Baswedan (kanan) mendakwa terdapat penipuan undi, berkutan pengumuman kemenangan Prabowo Subianto (kiri). - Foto AFP

Pesaing Prabowo dakwa wujud penipuan ketika pemilihan Presiden Indonesia

JAKARTA: Pemilihan Presiden Indonesia menyaksikan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, sudah melepasi minimum 50 peratus undi diperlukan bagi memenangi kerusi itu, namun pesaingnya mendakwa berlaku penipuan.

Prabowo mendahului dengan 56.85 peratus undi, lebih dua kali ganda berbanding pesaing terdekatnya, menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, meraih 25.15 peratus undi setakat semalam, sementara bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, calon Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), memperoleh 18 peratus.

Kedua-dua calon masih tidak mengaku kalah, dengan pegawai kempen mereka mendakwa terdapat penipuan undi biarpun penganalisis bebas tidak menemui bukti sedemikian setakat ini.

Media tempatan melaporkan wakil dari kedua-dua kem sudah bertemu beberapa kali berikutan keputusan kiraan pantas yang mendorong Prabowo mengisytiharkan kemenangannya pada Rabu lalu.

Setiausaha Agung PDI-P, Hasto Kristiyanto memberitahu pemberita pada Khamis bahawa 'satu pasukan khas' akan dibentuk dengan ahli pasukan kempen Anies, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Ketua pasukan undang-undang Anies, Ari Yusuf Amir, dipetik dalam laporan media sebagai berkata, penipuan sudah berlaku dengan kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menangani perkara itu.

"Kami mempunyai minat sama dalam menegakkan undang-undang dan demokrasi.

Jadi, kami sudah berkomunikasi dengan mereka. Kami sudah berjumpa beberapa kali. Kami akan susuli kemudian," kata Ari semalam, merujuk pasukan kempen Ganjar.

Penunjuk perasaan membantah keputusan pemilihan presiden Indonesia berikutan dakwaan wujud penipuan pengundian, memegang kertas kuning ketika protes senyap dipanggil ‘Kamisan’, di luar istana presiden di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan membantah keputusan pemilihan presiden Indonesia berikutan dakwaan wujud penipuan pengundian, memegang kertas kuning ketika protes senyap dipanggil ‘Kamisan’, di luar istana presiden di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS

Keputusan muktamad rasmi pemilihan presiden dijangka akan diketahui sebelum Mac, namun petunjuk awal sudah menunjukkan Prabowo, yang juga bekas jeneral, akan menggantikan Presiden sekarang, Joko Widodo (Jokowi).

Tajuk 'RIP (Rest In Peace) Demokrasi' atau 'Bersemadi Dengan Aman, Demokrasi', menjadi trending di platform X sejak Prabowo mengisytiharkan kemenangannya.

Warga maya menyuarakan rasa tidak senang dengan tindakan itu, dengan ramai dalam kalangan mereka mendakwa wujud penipuan pengundian.

Protes berskala kecil di Jakarta sudah diadakan, di mana lebih seratus orang berkumpul pada Khamis di luar istana presiden di sini.

Mereka dilihat memegang kad kuning, meniup wisel dan membentangkan sepanduk bertulis 'selamatkan demokrasi'.

Antara rungutan utama pada pilihan raya umum (PRU) Indonesia kali ini adalah dakwaan campur tangan pemerintah terutama dalam keputusan untuk menghidupkan semula pencalonan pasangan calon Prabowo iaitu Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak Jokowi.

Jokowi, yang kekal popular dalam kalangan rakyat Indonesia, tidak secara rasmi menyokong sesiapa pun dalam perlumbaan untuk menggantikan beliau.

Namun, keputusan anaknya untuk menjadi pasangan kepada Prabowo dilihat secara meluas sebagai tanda restu daripada presiden.

Pengkritik juga mendakwa Jokowi menggunakan program populis untuk menyokong pencalonan presiden Prabowo.

Bermula dari pemberian wang tunai untuk meredakan kesan perubahan iklim ke atas petani berpendapatan rendah, kepada kenaikan gaji penjawat awam pertama kali dalam tempoh lima tahun, dilihat sebagai sogokan kepada pengundi. - AGENSI

Berita Harian X