Jumaat, 16 Februari 2024 | 3:36pm
Data laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Umum pemilu2024.kpu.go.id pada pukul 11 pagi tadi, menunjukkan pasangan Prabowo (kanan)-Gibran mendahului dengan 56.85 peratus undi. - Foto REUTERS
Data laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Umum pemilu2024.kpu.go.id pada pukul 11 pagi tadi, menunjukkan pasangan Prabowo (kanan)-Gibran mendahului dengan 56.85 peratus undi. - Foto REUTERS

Anwar antara pemimpin dunia ucap tahniah kepada Prabowo

JAKARTA: Pemimpin dunia termasuk pemimpin dari Malaysia mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto yang kelihatan bakal melakar kemenangan dalam pilihan raya presiden Indonesia selepas kiraan pantas tidak rasmi menunjukkan beliau mendahului dengan selesa.

Dalam perkongsian di media sosialnya Prabowo berkata beliau telah menerima panggilan telefon daripada beberapa pemimpin dunia semalam yang menyampaikan ucapan tahniah meskipun pengiraan undi masih dijalankan.

Antara pemimpin itu ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Timbalan Perdana Menteri, Richard Marles; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe.

Perdana Menteri, Republik Czech Petr Fiala turut mengucapkan tahniah kepada Prabowo selepas memperoleh lebih 50 peratus undi dalam kiraan pantas.

Di BANGKOK, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dalam akaun X turut mengucapkan tahniah kepada Prabowo dan berharap dapat bekerjasama rapat untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara Thailand dan Indonesia.

"Tahniah juga kepada rakyat Indonesia atas kejayaan pilihan raya itu," kata Srettha.

Ketua Komunikasi Kempen Prabowo-Gibran Rakabuming Raka, Budisatrio dilaporkan berkata ucapan tahniah itu menunjukkan pengiktirafan pemimpin dunia terhadap proses demokrasi Indonesia yang lancar.

"Pengiktirafan itu juga menandakan kesediaan mereka untuk mengekalkan kerjasama dua hala dengan presiden yang dipilih, berdasarkan asas yang telah ditetapkan oleh Presiden Joko Widodo sejak sedekad lalu," katanya.

Menurut Litbang Kompas, dengan 95.95 peratus sampel undi yang telah dikira, Prabowo-Gibran memperoleh 58.48 peratus undi manakala Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD masing-masing mendapat 25.26 peratus dan 16.27 peratus.

Data laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Umum pemilu2024.kpu.go.id pada pukul 11 pagi Jumaat menunjukkan pasangan Prabowo-Gibran mendahului dengan 56.85 peratus undi.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) telah membuat kesimpulan bahawa Prabowo-Gibran memenangi pilihan raya dengan kemenangan besar berdasarkan kiraan pantas oleh Litbang Kompas.

Menurut bank itu, keputusan berkenaan sangat bermanfaat untuk pasaran sekuriti, memastikan keputusan pilihan raya yang stabil dan mengurangkan risiko pertikaian undang-undang.

"Dalam pilihan raya satu pusingan, pentadbiran Prabowo dijangka mempunyai kuasa politik yang lebih besar, mengurangkan keperluan untuk perkongsian kuasa dengan parti pembangkang," menurut Maybank IB dalam satu kenyataan.

Tumpuan kini beralih kepada pembentukan Kabinet dengan pemerhati pasaran memantau rapat proses itu, terutamanya keseimbangan antara pelantikan politik dan teknokrat.

Portfolio kabinet yang akan mempengaruhi dinamik pasaran, termasuk Kementerian Koordinasi Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Milik Negara, Kementerian Kerja Raya dan Perumahan, Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Informatik.

- BERNAMA

Berita Harian X