Rabu, 14 Februari 2024 | 10:49am
Mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara di Kudus, Jawa Tengah, Indonesia. Pengundian PEMILU 2024 mungkin ditangguhkan di Demak, Paniai dan Papua Tengah akibat bencana dan kerosakan logistik. - Foto AGENSI
Mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara di Kudus, Jawa Tengah, Indonesia. Pengundian PEMILU 2024 mungkin ditangguhkan di Demak, Paniai dan Papua Tengah akibat bencana dan kerosakan logistik. - Foto AGENSI

PEMILU 2024: Kelewatan pilihan raya mungkin berlaku di dua wilayah akibat banjir, kertas undi rosak

JAKARTA: Proses pengundian untuk Pilihan Raya Umum 2024 (PEMILU 2024) mungkin terpaksa ditangguhkan di Demak, Jawa Tengah dan Paniai, Papua Tengah, akibat bencana serta kerosakan logistik.

Komisioner Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), Betty Epsilon Idroos, berkata suruhanjaya berkenaan masih menunggu keputusan Pejabat KPU di Demak berhubung pengundian berikutan kejadian banjir yang melanda wilayah itu hampir seminggu dan menyebabkan kira-kira 21,000 orang kehilangan tempat tinggal.

"Pihak di kawasan terbabit menyatakan sudah membuat keputusan dan surat akan dihantar kepada KPU sama ada akan meneruskan pilihan raya atau tidak," katanya.

Selain Demak, beliau berkata, pengundian juga berpotensi ditangguhkan di Paniai berikutan kertas undi rosak dan pilihan raya mungkin boleh diadakan kemudian.

"Undang-undang membenarkan penangguhan akibat bencana alam atau gangguan lain, seperti keadaan yang memaksa. Kita akan lihat dalam keadaan apa," jelasnya.

Betty, bagaimanapun tidak mengesahkan bilakah pilihan raya gantian akan diadakan dan suruhanjaya terbabit masih menunggu laporan daripada kedua-dua wilayah.

Hari ini, kira-kira 204.8 juta rakyat Indonesia dijangka mengambil bahagian dalam PEMILU 2024.

Lebih 800,000 pusat mengundi akan beroperasi merentasi tiga zon waktu.

'Pesta Demokrasi' di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bakal menentukan pengganti Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.

Calon presiden dan naib presiden bagi tempoh 2024-2028 akan dipilih pengundi serta sejumlah calon anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, pengundi akan menerima lima kertas undi di Tempat Pemungutan Suara (TPS).

Fokus pastinya terarah pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres), yang membabitkan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan yang berpasangan dengan Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin Iskandar, sebagai calon naib presiden.

Prabowo pula bertanding buat kali ketiga selepas kalah pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi dan kini bergandingan dengan anak sulung Jokowi, Gibran sebagai regunya untuk calon naib presiden.

Bekas Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo pula bergandingan dengan Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan.

Sekiranya tiada calon mencapai lebih daripada 50 peratus pada pusingan pertama, pusingan kedua dijadualkan pada Jun dengan hanya dua calon yang menerima undian paling popular.

Pada Pemilihan Umum (Pemilu) kali ini, pengundi muda iaitu generasi Milenium dan Gen Z mewakili 54 peratus daripada jumlah pengundi yang layak seawal usia 17 tahun untuk menunaikan tanggungjawab.

Jumlah pengundi di Jawa paling ramai dan berpengaruh dengan 115.4 juta pengundi dan 454,444 TPS dibuka.

Jawa Barat mempunyai pengundi teramai iaitu 35.7 juta pengundi diikuti Jawa Timur dengan 31.4 juta, Jawa Tengah 28.3 juta, Jakarta 8.25 juta, Banten 8.8 juta dan Yogyakarta dengan 2.9 juta. - AGENSI

Berita Harian X