Selasa, 13 Februari 2024 | 2:29pm
Dari kiri: Melly Goeslaw, Uya Kuya dan Desy Ratnasari.
Dari kiri: Melly Goeslaw, Uya Kuya dan Desy Ratnasari.

Selebriti antara calon PEMILU 2024

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 82 individu dalam industri hiburan bertanding sebagai calon ahli Parlimen ketika ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mengadakan pemilihan umum (PEMILU) 2024.

Selama berbulan-bulan, jalan-jalan di Indonesia dibanjiri poster dan sepanduk kempen milik bintang televisyen 90-an, Gusti Randa; penyanyi dan penulis lagu Melly Goeslaw dan pengacara program bual bicara Uya Kuya, yang semuanya akan bertanding kerusi Parlimen.

Memetik laporan CNA, selain itu, 14 selebriti lain turut beralih kerjaya ke politik sebelum pilihan raya dan kini berkempen untuk dipilih semula sebagai ahli Parlimen antaranya pelawak Eko Patrio; bintang filem Desy Ratnasari dan veteran muzik Kris Dayanti.

Pada Pilihan Raya Parlimen 2019, sekurang-kurangnya 54 pelakon, personaliti televisyen dan pemuzik bertanding untuk Parlimen, tidak termasuk selebriti yang bertanding sebagai gabenor, bupati, datuk bandar atau timbalan mereka.

Indonesia akan mengadakan pilihan raya serantau untuk memilih gabenor, bupati dan datuk bandar pada November dan calon untuk pilihan raya ini belum diumumkan.

Dengan bilangan selebriti yang bertanding semakin meningkat di Indonesia, penganalisis bimbang parti politik semakin memihak untuk mencalonkan selebriti sebagai calon ahli Parlimen, meninggalkan kumpulan yang kurang terkenal dengan sedikit peluang untuk bersinar dan bangkit dalam kalangan ahli parti.

Pakar juga bimbang bagaimana nasib ahli politik selebriti ini jika mereka dipilih dan memegang jawatan awam.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi (Perludem), Khoirunnisa Nur Agustyati, berkata mereka melihat berkali-kali bahawa beberapa ahli politik selebriti ini tidak mengambil tanggungjawab baharu dengan serius.

"Ada antara mereka masih membuat persembahan atau muncul dalam iklan. Bagaimanakah kita boleh mengharapkan mereka membincangkan rang undang-undang atau isu rumit yang menjejaskan jutaan nyawa," katanya.

Lebih 200 juta rakyat Indonesia akan keluar mengundi esok kerana negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bukan saja akan memilih presidennya yang akan datang tetapi juga memutuskan ahli Parlimen peringkat kebangsaan, wilayah dan bandarnya.

Secara keseluruhan, lebih 20,000 jawatan dipertandingkan dan jawatan ini sedang ditandingi oleh kira-kira 300,000 calon daripada 18 parti politik.

Satu faktor utama mengapa bilangan selebriti bertanding untuk MP meningkat tahun ini ialah tempoh kempen yang singkat.

Pada pilihan raya 2019, calon presiden dan Parlimen mempunyai 203 hari antara 23 September 2018 dan 13 April 2019 untuk berkempen.

Kali ini, calon hanya mempunyai 75 hari antara 28 November 2023 dan 10 Februari 2024.

Keputusan untuk memendekkan tempoh berkempen dibuat oleh Parlimen Indonesia pada 2022.

Beberapa ahli Parlimen pada masa itu berhujah memendekkan tempoh berkempen akan menjimatkan kos, terutamanya memandangkan ekonomi Indonesia terjejas akibat pandemik COVID-19.

Berita Harian X