Selasa, 13 Februari 2024 | 10:52am
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - Foto fail AFP
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - Foto fail AFP

Penentang Thaksin mohon menteri kehakiman nafikan parol

BANGKOK: Sekumpulan penentang merancang mengemukakan petisyen kepada Menteri Kehakiman Tawee Sodsong hari ini bagi membantah parol bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang disabitkan bersalah.

Jurucakap Kementerian Kehakiman, Somboon Muangklam, berkata 1,200 banduan layak untuk diberikan parol tahun ini, tetapi tidak mengetahui sama ada Thaksin termasuk dalam kalangan yang diberikan keistimewaan itu.

Daripada 1,200 itu, beliau berkata 1,000 daripadanya membabitkan kes "biasa", manakala selebihnya kes "istimewa", sambil menambah dalam setiap parol besar-besaran, terdapat beberapa "nama besar".

Ditanya bila banduan akan dibebaskan, Somboon berkata ia bergantung kepada Jabatan Koreksional kerana tidak ada keperluan untuk waran pembebasan dikeluarkan mahkamah dan banduan yang diparol boleh dibebaskan dari penjara pada hujung minggu.

Memetik laporan portal Thai PBS World, bagi mereka yang berusia lebih 70 tahun dan mempunyai masalah kesihatan, jurucakap itu berkata mereka tidak akan diwajibkan memakai gelang pemantauan elektronik, tidak seperti banduan muda yang dibebaskan dengan parol.

Sejak kembali ke Thailand 22 Ogos lalu, selepas 15 tahun dalam buangan sendiri untuk mengelak daripada dipenjarakan, Thaksin menghabiskan masa di hospital Jabatan Koreksional, sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Polis untuk rawatan penyakit yang mengancam nyawa dan berada di hospital berkenaan sehingga hari ini.

Tiada orang luar dibenarkan melihat atau melawatnya, menimbulkan syak wasangka sama ada pemimpin itu sebenarnya masih berada di hospital.

Berita Harian X