Isnin, 12 Februari 2024 | 9:41pm
Konvoi Diraja membawa Permaisuri Thailand, Suthida dan putera Dipangkorn, melintasi demonstrasi sekumpulan aktivis anti-kerajaan di hadapan bangunan Rumah Kerajaan. - Foto REUTERS
Konvoi Diraja membawa Permaisuri Thailand, Suthida dan putera Dipangkorn, melintasi demonstrasi sekumpulan aktivis anti-kerajaan di hadapan bangunan Rumah Kerajaan. - Foto REUTERS

Perdana Menteri Thailand gesa debat konvoi Diraja diadakan di ruang selamat

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, menggesa supaya dialog mengenai keselamatan berkaitan keluarga Diraja diadakan di 'ruang selamat' termasuk isu terkini membabitkan konvoi kenderaan Diraja.

Isu itu berbangkit selepas puluhan orang cedera dalam pergaduhan hujung minggu antara kumpulan ultra-Diraja dan monarki dengan aktivis reformasi.

Srettha membuat gesaan itu selepas aktivis reformasi, Tantawan Tuatulanon, 22, membuat siaran langsung di akaun Facebooknya menunjukkan dia bertengkar dengan pegawai polis yang menghalang kereta untuk laluan kenderaan Diraja.

Monarki dianggap suci oleh majoriti penduduk Thailand dan terdapat undang-undang yang amat ketat melindungi mereka serta keluarga.

Kesalahan menghina monarki boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun di bawah Perkara 112 Kanun Jenayah Thailand.

Beberapa media tempatan melaporkan bahawa kereta yang dinaiki Tantawan didakwa membunyikan hon dan cuba memotong kenderaan yang membawa Puteri Sirindhorn, adik kepada Raja Maha Vajiralongkorn, di lebuh raya Bangkok.

Ketua Polis, Torsak Sukvimol berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tantawan dan rakan aktivis berhubung kes 4 Februari lalu itu.

Sebelum ini, Tantawan pernah didakwa atas tuduhan menghina Raja.

Sabtu lalu, sekumpulan ultra-Diraja yang marah dengan kes itu bertempur dengan Tantawan dan rakan-rakan aktivisnya di stesen skytrain ketika mereka merancang untuk mengadakan sidang media di hadapan pusat beli-belah di tengah Bangkok.

Srettha mengecam keganasan itu dan menggesa aktivis untuk membincangkan isu itu di 'ruang selamat'.

"Kita ada Parlimen, kita ada ahli akademik, kita harus membincangkan isu ini di tempat yang sesuai.

Bukan di tempat yang konfrontasi, seperti pusat membeli-belah atau tempat awam, itu tidak sesuai," katanya.

Srettha juga menegaskan bahawa kerajaan mesti mengutamakan keselamatan keluarga diraja dan berkata beliau sudah membincangkan perkara itu dengan ketua polis dan pegawai keselamatan lain.

Pergerakan politik pimpinan belia yang muncul pada 2020 kerap kali melanggar pantang larang tradisional dan menyeru reformasi kerajaan Beraja yang berkuasa.

Kerajaan Thai pada akhir 2020 berkata Raja bimbang mengenai perkara itu dan polis melaraskan protokol keselamatan untuk mengurangkan gangguan kepada orang ramai. - REUTERS

Berita Harian X