Isnin, 12 Februari 2024 | 2:57pm
Seorang lelaki berdiri di hadapan sepanduk imej calon presiden Indonesia Prabowo Subianto dan pasangannya Gibran Rakabuming Raka di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS
Seorang lelaki berdiri di hadapan sepanduk imej calon presiden Indonesia Prabowo Subianto dan pasangannya Gibran Rakabuming Raka di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS

Pelajar, aktivis Indonesia rancang protes campur tangan pilihan raya

JAKARTA: Ratusan pelajar dan aktivis Indonesia dijadual mengadakan protes hari ini susulan dakwaan salah guna kuasa oleh Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Penganjur mendakwa Jokowi menyalahgunakan kuasanya sebagai penyandang Presiden Indonesia untuk mempengaruhi pengundi bagi menyokong Prabowo Subianto pada Pemilihan Umum (PEMILU) 2024.

Jokowi tidak menyatakan secara jelas sokongan kepada mana-mana calon presiden, tetapi dilihat membuat beberapa penampilan bersama Prabowo dan anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka, 36, yang bertanding bagi jawatan naib presiden.

Hasil dua kajian minggu lalu, mendapati Prabowo mampu meraih lebih 50 peratus undi, Rabu ini, sekali gus membolehkan beliau menang pada pusingan pertama.

Pesaing Prabowo, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo berada sekurang-kurangnya 20 mata di belakang Menteri Pertahanan itu.

Sebahagian pengundi menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan keneutralan dipamerkan Jokowi, selain menyifatkannya merosakkan demokrasi Indonesia dengan mewujudkan persaingan tidak adil antara calon.

Penganjur protes di Yogyakarta, Aksi Gejayan Memanggil, menerusi muat naik di Instagram, berkata pelanggaran etika dan moral itu menunjukkan Jokowi menentang pandangan awam kritis.

Malah, protes berasingan anjuran beberapa kumpulan hak asasi turut dijadual diadakan di Jakarta.

Ia susulan dokumentari dihasilkan wartawan Indonesia, Dandhy Laksono, mendakwa pegawai kerajaan, termasuk polis dan ketua wilayah serta sumber kebajikan kerajaan digunakan untuk memberi kelebihan kepada Prabowo.

Dokumentari 'Dirty Vote' yang disiarkan hujung minggu lalu, itu meraih tontonan hampir empat juta pengguna di aplikasi YouTube, hari ini.

Mengulas dakwaan itu, Pejabat Presiden menafikan campur tangan Jokowi dalam PEMILU 2024, selain kerajaan menegaskan kebajikan sosial tidak digunakan untuk memberi manfaat kepada mana-mana calon.

Pasukan kempen Prabowo juga menafikan tuduhan itu, selain menggambarkan 'kebanyakan kandungan dalam dokumentari itu sebagai fitnah'.

Protes dalam kalangan pelajar juga berlaku ketika Indonesia memasuki tempoh bertenang menjelang pengundian, Rabu ini.

Pihak berkuasa dilihat menurunkan papan tanda dan poster calon, selain mereka dilarang berkempen sepanjang tempoh berkenaan.

Polis Indonesia akan mengatur gerak kira-kira 25,000 anggota antirusuhan bagi memastikan keselamatan semasa proses pengundian berlangsung.

Berita Harian X