Isnin, 12 Februari 2024 | 12:19pm
Lori membawa peti undi ketika pengagihan di kawasan Nusantara National Capital (IKN) di Sepaku, wilayah Kalimantan Timur, Indonesia pada 11 Februari 2024. - Foto REUTERS-ANTARA
Lori membawa peti undi ketika pengagihan di kawasan Nusantara National Capital (IKN) di Sepaku, wilayah Kalimantan Timur, Indonesia pada 11 Februari 2024. - Foto REUTERS-ANTARA

Penganalisis jangka pemilihan presiden Indonesia ke pusingan kedua

JAKARTA: Biarpun tumpuan Pemilihan Umum (PEMILU) 2024 dan hasil kajian lebih terarah kepada Prabowo Subianto, penganalisis berpandangan pemilihan presiden mungkin memasuki pusingan kedua bagi menentukan presiden Indonesia kelapan.

Berdasarkan kajian terkini, mereka berpandangan tumpuan diterima Prabowo tidak memberikan Menteri Pertahanan itu laluan mudah untuk dilantik ke jawatan itu, mahupun mengetepikan sokongan pengundi terhadap dua pesaingnya.

Ini kerana, PEMILU 2024 menyaksikan saingan tiga penjuru dengan undang-undang pilihan raya menetapkan calon perlu memenangi sekurang-kurangnya 50 peratus undian nasional dan 20 peratus undian di setiap wilayah bagi mengelak pusingan kedua pemilihan presiden.

Memetik laporan CNA, pusingan kedua akan menyaksikan calon menduduki tempat pertama dan kedua perlu bersaing pada pilihan raya yang dijadualkan pada 26 Jun ini.

Mereka juga berpendapat beberapa kajian sentimen pengundi pada PEMILU 2024 hanya meneliti sebahagian kecil populasi pemilih berdaftar dan mungkin tidak mencerminkan sentimen sebenar pada hari pengundian.

Kajian pra-PEMILU diterbitkan Indikator Politik Indonesia, Jumaat lalu, mendapati kadar kemungkinan gandingan Prabowo dan pasangannya, Gibran Rakabuming Raka, dipilih ke jawatan itu adalah 51.8 peratus.

Ia diikuti pasangan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar yang hanya meraih 24.1 peratus, manakala Encik Ganjar Pranowo dan Mahfud MD (19.6 peratus).

Kajian berasingan kendalian Pusat Populi, antara 27 Januari hingga 3 Februari lalu serta Political Weather Station (21 hingga 25 Januari), dan Lingkaran Survei Indonesia (16 hingga 26 Januari) juga menunjukkan kadar kemungkinan Prabowo-Gibran dilantik ke jawatan itu masing-masing 52.5 peratus, 52.3 peratus, dan 50.7 peratus.

PEMILU 2024 kini memasuki tempoh bertenang selepas had berkempen tamat secara rasmi, Sabtu lalu.

Tempoh berkenaan akan memberi ruang kepada pengundi menentukan calon presiden sebelum proses pengundian dijadual berlangsung Rabu ini.

PEMILU 2024 juga bakal menentukan wakil presiden serta Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) bagi membentuk badan legislatif baharu di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Sementara itu, pasukan kempen Prabowo berkata, mereka yakin untuk memenangi PEMILU 2024, namun tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk bekerjasama dengan calon tercorot jika pemilihan presiden memasuki pusingan kedua.

Namun, pasukan kempen Anies dan Ganjar mengakui tidak akan memberi tumpuan khusus kepada dapatan kajian terkini, selain menegaskan keutamaan lebih terarah kepada keputusan Rabu ini.

Berita Harian X