Ahad, 11 Februari 2024 | 4:27pm
Gambar tangkap layar menunjukkan This kapal Pengawal Pantai China (hadapan, kanan) belayar memintas kapal Pengawal Pantai Filipina, BRP Teresa Magbanua (belakang, kanan) dekat Beting Scarborough di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP
Gambar tangkap layar menunjukkan This kapal Pengawal Pantai China (hadapan, kanan) belayar memintas kapal Pengawal Pantai Filipina, BRP Teresa Magbanua (belakang, kanan) dekat Beting Scarborough di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP

Pengawal Pantai Filipina tuduh Pengawal Pantai China lakukan aksi berbahaya

MANILA: Pengawal Pantai Filipina (PCG) mendakwa kapal Pengawal Pantai China (CCG) melakukan gerakan 'berbahaya' ketika rondaan selama sembilan hari berhampiran terumbu di luar pantai negara itu.

Kapal Filipina BRP Teresa Magbanua dikerahkan awal Februari lalu untuk meronda di perairan sekitar Beting Scarborough dan menghantar bekalan kepada nelayan Filipina bagi memastikan keselamatan mereka.

Beijing bagaimanapun mengerahkan bot peronda yang didakwa mengganggu kapal dan menghalang nelayan Filipina.

Ketika rondaan, kapal CCG melakukan gerakan berbahaya dan menghalang BRP Teresa Magbanua sebanyak empat kali.

"Kapal CCG turut melintasi haluan kapal PCG sebanyak dua kali", katanya.

Pengawal Pantai Filipina berkata kapalnya juga 'dibayangi' oleh empat kapal CCG lebih daripada 40 kali.

Video yang dikeluarkan oleh PCG menunjukkan kapal CCG berada beberapa meter dari haluan BRP Teresa Magbanua, sebelum melintasi laluan bot Filipina.

Beting Scarborough terletak 240 kilometer (km) di barat pulau utama Luzon di Filipina dan hampir 900km dari kawasan daratan China yang paling hampir di Hainan.

Ketika pertembungan itu, PCG dalam operasi menyerahkan makanan dan barangan runcit kepada 100 nelayan Filipina dalam 14 bot.

Kes itu berlaku dua bulan selepas ketegangan antara China dan Filipina menyaksikan perlanggaran antara kapal dari kedua-dua negara dan tindakan kapal China menembak meriam air ke atas bot Filipina.

China menuntut hampir keseluruhan laut di perairan Laut China Selatan dan mengabaikan keputusan tribunal antarabangsa yang didakwanya tidak mempunyai asas undang-undang.

Ia mengerahkan bot untuk meronda di laluan air yang sibuk dan membina pulau buatan untuk mengukuhkan tuntutannya.

Pegawai China dan Filipina bulan lalu bersetuju mengenai keperluan dialog untuk menangani 'kecemasan maritim' di laluan air ketika ketegangan semakin memuncak. - AFP

Berita Harian X