Ahad, 11 Februari 2024 | 2:49pm
Pesawat berkenaan sebelum ini, digunakan Qatar. - Foto AFP
Pesawat berkenaan sebelum ini, digunakan Qatar. - Foto AFP

Indonesia batal rancangan pembelian Mirage

JAKARTA: Indonesia membatalkan cadangan membeli pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 bernilai €733 juta euro (RM3.77 bilion).

Pesawat berkenaan sebelum ini, digunakan Qatar.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Dahnil Anzar Simanjuntak, menerusi kenyataan berkata, pembelian jet Mirage tidak diteruskan walaupun ia sudah dirancang sebelum ini.

"Tiada pembelian jet Mirage. Walaupun dirancang, ia sudah dibatalkan, bermakna tiada kontrak aktif," katanya, semalam.

Bulan lalu, kementerian dilapor berkata, perjanjian membeli 12 pesawat pejuang itu ditangguhkan susulan kekangan kewangan, selain tentera akan membuat pesanan penyesuaian semula untuk pesawat Sukhoi dan F-16 sedia ada sebagai ganti.

Cadangan pembelian itu menjadi kontroversi ketika diumumkan tahun lalu, dengan ahli parlimen berkata, pesawat itu sudah tua.

Menteri Pertahanan Prabowo Subianto yang ketika ini bersaing sebagai calon presiden pada pilihan raya, dikritik susulan perjanjian itu oleh pesaingnya ketika berkempen.

Namun, beliau mempertahan cadangan pembelian itu ketika salah satu debat presiden, menyatakan pesawat terbabit masih baik dan boleh digunakan selama 15 tahun lagi dengan ia diperlukan sementara republik itu menunggu kedatangan pesawat baharu.

Prabowo memantau usaha tentera untuk memodenkan armadanya yang sudah uzur, termasuk pembelian pesawat pejuang Rafale, dron dari Turkish Aerospace, dan pesawat pejuang serta helikopter pengangkut dari syarikat Amerika, Boeing dan Lockheed Martin. - REUTERS

Berita Harian X