Sabtu, 10 Februari 2024 | 4:41pm
Prabowo diramal memperoleh lebih 50 peratus undi yang diperlukan bagi memenangi pilihan raya presiden Indonesia. - Foto REUTERS
Prabowo diramal memperoleh lebih 50 peratus undi yang diperlukan bagi memenangi pilihan raya presiden Indonesia. - Foto REUTERS

Probowo diramal dapat majoriti undi pada pilihan raya Presiden Indonesia

JAKARTA: Menteri pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto diramal memperoleh lebih 50 peratus undi yang diperlukan bagi memenangi pilihan raya presiden negara itu dalam satu pusingan, demikian hasil tinjauan pendapat baharu hari ini, yang juga hari terakhir kempen.

Prabowo diunjur memperoleh 51.9 peratus undi berdasarkan tinjauan terhadap 1,220 responden oleh Lembaga Survei Indonesia (LSI), yang dijalankan antara 29 Januari hingga 5 Februari lalu.

Responden memberikan 23.3 peratus sokongan kepada bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan 20.3 peratus untuk Ganjar Pranowo, bekas pemimpin wilayah Jawa Tengah, manakala 4.4 peratus tidak membuat keputusan.

Tinjauan paling banyak mendapat tumpuan di Indonesia secara konsisten meletakkan Prabowo di hadapan Anies dan Ganjar.

Semalam, tinjauan pendapat oleh Indikator Politik mengunjurkan Prabowo untuk mencapai ambang 50 peratus yang diperlukan untuk menang dalam satu pusingan.

Pengarah eksekutif LSI, Djayadi Hanan berkata, tinjauan itu mempunyai selang keyakinan 95 peratus dan margin ralat 2.9 peratus.

Ia menunjukkan kemungkinan undian akan pergi ke pusingan kedua dan jumlahnya terlalu hampir untuk mengunjurkan siapa yang akan menjadi pemenang kedua.

Pusingan kedua (run-off) antara dua calon dengan undian terbanyak akan diadakan Jun ini jika tiada calon mendapat lebih daripada 50 peratus undi.

Populariti Prabowo melonjak sejak bekas komander pasukan khas itu memilih anak Presiden Joko Widodo atau Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai gandingannya pada Oktober lalu, memberi isyarat kepada pengundi bahawa pemimpin popular yang akan tamat penggal pemerintahan itu akan menyokong Prabowo, kata Djayadi.

Jokowi didakwa campur tangan dan berat sebelah atas sokongan tersiratnya terhadap Prabowo, yang dinafikan sekutunya.

Jokowi tidak secara jelas menyokong mana-mana daripada tiga calon itu dan berkata, beliau tidak akan berkempen untuk mana-mana calon.

Gibran ialah calon gandingan Prabowo, berikutan keputusan saat akhir oleh mahkamah yang diketuai abang ipar Jokowi untuk menukar peraturan kelayakan dan presiden membuat beberapa penampilan umum dengan pendahulu itu. - REUTERS

Berita Harian X