Jumaat, 9 Februari 2024 | 2:03pm
Pasukan mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di Maco, Davao de Oro di Filipina. - Foto AFP
Pasukan mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di Maco, Davao de Oro di Filipina. - Foto AFP

Kanak-kanak diselamatkan selepas 60 jam terperangkap dalam tanah runtuh

MANILA: Pasukan penyelamat hari ini berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terperangkap hampir 60 jam dalam tanah runtuh di sebuah perkampungan perlombongan emas di selatan Filipina.

Kanak-kanak itu, yang tidak didedahkan umurnya, adalah antara lebih 100 orang yang hilang dalam tragedi tanah runtuh akibat hujan lebat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.

Pegawai Agensi Bencana dari wilayah Davao de Oro, Edward Macapili berkata, mangsa ditemui terselamat di kampung Masara di selatan Mindanao.

"Ia satu keajaiban, sekali gus memberi harapan kepada penyelamat. Ketahanan kanak-kanak biasanya kurang daripada orang dewasa, namun kanak-kanak itu terselamat," katanya.

Anggota tentera turut menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Maco, Davao de Oro, Filipina. - Foto AFP
Anggota tentera turut menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Maco, Davao de Oro, Filipina. - Foto AFP

Terdahulu, tular video seorang penyelamat membawa kanak-kanak yang menangis dan berlumuran lumpur.

Tanah runtuh itu memusnahkan rumah dan menimbus tiga bas serta sebuah kenderaan yang digunakan untuk mengambil pekerja dari lombong emas.

Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 31 cedera, manakala lebih 100 masih hilang.

Anjing pengesan digunakan untuk mencari mereka yang tertimbus di dalam lumpur dan runtuhan.

Pasukan penyelamat dan polis mengeluarkan mayat mangsa tanah runtuh di perkampungan Masara, Maco, Davao de Oro, Filipina. - Foto REUTERS
Pasukan penyelamat dan polis mengeluarkan mayat mangsa tanah runtuh di perkampungan Masara, Maco, Davao de Oro, Filipina. - Foto REUTERS

Hujan melanda bahagian Mindanao selama berminggu-minggu, mengakibatkan puluhan tanah runtuh dan banjir sehingga memaksa berpuluh ribu orang ke tempat perlindungan kecemasan.

Gempa bumi besar juga menjejaskan kestabilan rantau itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Kawasan yang dilanda tanah runtuh diisytiharkan sebagai 'zon tiada pembinaan' selepas tanah runtuh pada 2007 dan 2008.

Orang ramai diminta meninggalkan kediaman masing-masing dan mereka diberi kawasan penempatan semula, bagaimanapun orang ramai tetap berdegil dan kembali ke kediaman masing-masing. - AFP

Berita Harian X