Jumaat, 9 Februari 2024 | 2:00am

PEMILU 2024: 54,479 pengundi luar negara Indonesia di Arab Saudi

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, melawat Sekretariat Jawatankuasa Pilihan Raya Luar Negara (PPLN) di Konsulat Besar Indonesia di Jeddah, Arab Saudi, kelmarin, bagi memantau persiapan menjelang Pemilihan Umum (PEMILU) 2024, lapor agensi berita ANTARA.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya, kelmarin, Ma'ruf memaklumkan bahawa Arab Saudi mencatat bilangan pengundi luar negara (DPT) Indonesia yang kedua terbesar selepas Malaysia, justeru mereka mesti mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

Beliau menekankan, PEMILU 2024 adalah penting, terutama bagi memilih Presiden dan Naib Presiden baharu selepas penggal pentadbiran Presiden Joko Widodo berakhir.

"Pilihan raya mesti dijalankan mengikut peraturan, iaitu adil serta jujur.

"Keadilan adalah penting untuk membawa legitimasi kepada keputusan pilihan raya," katanya sambil menggesa semua pihak terbabit supaya lebih mengutamakan perpaduan berbanding kepentingan politik pada pilihan raya itu.

Pengundian dalam kawasan PPLN Jeddah dijadualkan berlangsung serentak pada jam 2 petang hingga 12 tengah malam waktu tempatan 9 Februari 2024 di 12 pusat pengundian (TPS) dan 24 kotak pengundian mudah alih (KSK).

Ia membabitkan 10 bandar yang menjadi tumpuan rakyat/pekerja migran Indonesia (PMI), iaitu Jeddah, Makkah, Madinah, Taif, Abha, Qunfudah, Khamis Musyet, Rabigh, Tabuk, dan Yanbu.

Jumlah DPT di Arab Saudi mencecah 54,479 orang dengan pecahan 34.4 peratus lelaki dan 65.6 peratus wanita. Seramai 22,864 DPT disenaraikan di TPS Jeddah, manakala 31,615 lagi direkodkan di KSK luar Jeddah.

PPLN hanya menyediakan perkhidmatan pengundian bagi rakyat/PMI Indonesia yang tinggal di Arab Saudi.

Justeru, rakyat Indonesia yang sedang menunaikan ibadah umrah pada hari pengundian itu, tidak boleh mengundi di Arab Saudi. – BERNAMA-ANTARA

Berita Harian X