Khamis, 8 Februari 2024 | 11:27am
Kakitangan perubatan melakukan semburan ubat nyamuk bagi membanteras nyamuk Aedes aegypti, vektor pembawa virus denggi, Zika dan Chikungunya. - Foto AFP
Kakitangan perubatan melakukan semburan ubat nyamuk bagi membanteras nyamuk Aedes aegypti, vektor pembawa virus denggi, Zika dan Chikungunya. - Foto AFP

Denggi makin serius di Thailand, 8,000 jangkitan dalam sebulan

BANGKOK: Jabatan Kawalan Penyakit (DCD) Thailand memberi amaran kepada orang ramai supaya melindungi diri daripada gigitan nyamuk, susulan demam denggi bertambah serius dengan lebih 8,000 jangkitan termasuk 13 kematian tahun ini.

Ketua Pengarah DCD, Dr Thongchai Keeratihuttayakorn, berkata sebanyak 8,197 mangsa disahkan menghidap denggi pada Januari tahun ini saja, mencatatkan peningkatan 91.25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu di mana 4,286 mangsa dijangkiti.

Tambah beliau, pada tahun ini, 13 pesakit maut setakat ini akibat demam denggi.

Denggi adalah penyakit bawaan nyamuk yang biasa berlaku di kawasan bercuaca tropika dan sub tropika, menerusi virus disebarkan oleh nyamuk Aedes terutama Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

Gejala biasa adalah demam kuat, sakit kepala yang teruk, lenguh sendi dan otot, rasa loya, muntah, ruam kulit serta kesan bengkak pada kelenjar.

Kata Dr Thongchai, kebanyakan pesakit pada 2024 adalah kanak-kanak berusia lima hingga 14 tahun, kebanyakannya di wilayah selatan dan tengah Thailand.

Pesakit yang maut dicatatkan di 11 wilayah, dengan yang tua berusia 65 tahun.

Dr Thongchai berkata semua hospital merawat pesakit denggi harus mengedarkan krim anti nyamuk atau menggunakan semburan ubat nyamuk bagi melindungi pesakit.

Tambah beliau, mereka yang berada dalam kalangan pesakit denggi juga harus mengambil langkah melindungi diri dan cepat mendapatkan rawatan jika mengalami demam panas ysng melampau.

Dalam perkembangan berkaitan, Pasukan penyelidik Jabatan Entomologi Perubatan di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jepun memberi amaran mengenai peningkatan bilangan nyamuk tahan racun serangga di Asia Tenggara.

Amaran itu dibuat selepas pasukan diketuai Shinji Kasai menemui mutasi genetik baharu yang menjadikan nyamuk aedes aegypti, yang juga vektor virus Zika dan demam kuning selain denggi, lebih tahan terhadap racun serangga biasa.

Lebih 80 peratus nyamuk aedes aegypti di Vietnam dan Kemboja didapati mempunyai mutasi genetik berkenaan dan memerlukan kajian semula kaedah kawalan nyamuk serta meningkatkan kewaspadaan mengenai pembiakan nyamuk tahan racun serangga.

Pasukan Kasai mengumpul nyamuk di Vietnam dan di tempat lain serta memeriksa bagaimana serangga itu tahan terhadap racun serangga 'pyrethroid' yang biasa digunakan.

Kajian menunjukkan, walaupun kepekatan racun serangga dinaikkan kepada 10 kali ganda paras yang boleh membunuh nyamuk biasa, kira-kira 80 peratus daripada nyamuk yang dikumpul di Hanoi terselamat. - AGENSI

Berita Harian X