Rabu, 7 Februari 2024 | 1:59pm
Menteri Pertahanan Indonesia, yang juga calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyambut penyokongnya selepas sambutan ulang tahun Parti Gerindra di Denpasar, Bali, Indonesia. - Foto REUTERS
Menteri Pertahanan Indonesia, yang juga calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyambut penyokongnya selepas sambutan ulang tahun Parti Gerindra di Denpasar, Bali, Indonesia. - Foto REUTERS

Prabowo bergelut capai undi minimum menang pemilihan Presiden Indonesia

JAKARTA: Ramalan peluang menang bagi calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, 72, dilihat masih jauh kerana belum mencapai sokongan undi minimum yang diperlukan ketika tinggal seminggu lagi pemilihan diadakan.

Bagi memenangi jawatan presiden Indonesia, calon memerlukan lebih 50 peratus undian keseluruhan dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di separuh daripada wilayah di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu.

Ia adalah berdasarkan kepada peraturan pilihan raya Indonesia di mana Prabowo setakat ini hanya memperoleh sokongan kira-kira 45.8 peratus menerusi keputusan tinjauan pendapat terbaru Indikator Politik.

Ketika ini, pesaingnya Ganjar Pranowo, dari parti pemerintah memperoleh 23 peratus dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan memperoleh 25.5 peratus, manakala 5.8 peratus belum lagi membuat keputusan.

Sekiranya gagal, Prabowo perlu bertanding dalam pusingan kedua pada 26 Jun, bersaing dengan pemenang tempat kedua, sekali gus menjadikannya pertandingan yang lebih sukar dimenangi.

Senario yang tidak pernah lagi berlaku sejak 2004 itu mungkin akan menyaksikan peralihan kesetiaan daripada setengah pihak, tetapi ia bergantung kepada siapa yang menduduki tempat kedua.

Penyokong Ganjar mungkin akan beralih kepada Anies menjelang pilihan raya, tetapi tidak jelas sama ada pihak yang menyokong Anies akan berada di belakang Ganjar jika dia naib juara.

Terdahulu, kritikan memuncak berhubung campur tangan politik dan berat sebelah Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang berkempen secara senyap untuk Probowo.

Malah, Oktober lalu rakyat Indonesia dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi, yang diketuai oleh abang ipar Jokowi, membuat perubahan peraturan kelayakan yang membenarkan anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, menjadi pasangan calon Prabowo.

Pengkritik bimbang tindakan itu mengakibatkan penghakisan nilai demokrasi di Indonesia, yang 25 tahun lalu berjaya membebaskan diri daripada pemerintahan kuku besi di tengah-tengah pergolakan sosial dan ekonomi yang besar.

Namun, Jokowi kekal popular dalam kalangan orang ramai dan sebahagian besarnya, terima kasih kepada beliau, Prabowo dan Gibran mendahului dengan konsisten dalam tinjauan setakat ini.

Pilihan Raya Presiden Indonesia pada 14 Februari ini cenderung menjadi pertandingan personaliti dan bukannya dasar, dengan ketiga-tiga calon membuat ikrar yang sama mengenai pertumbuhan dan kebajikan yang inklusif.

Secara kasar, separuh daripada lebih 270 juta penduduk Indonesia yang tinggal di Pulau Jawa dan wilayah berdekatan akan menjadi penentu utama siapa pemenang pemilihan presiden kali ini.

Seperti pilihan raya di tempat lain, penganalisis menjangkakan tinjauan pendapat Indonesia akan diputuskan sebahagian besarnya di media sosial, kawasan di mana Prabowo mendominasi.

Indonesia mempunyai pengguna terbesar dunia aplikasi video pendek TikTok dan Prabowo menggunakannya bukan untuk berkempen, tetapi turut popular kerana aksi tariannya yang janggal sehingga menjadi tular di media sosial.

Pada masa yang sama, separuh daripada pengundi Indonesia yang layak adalah di bawah 40 tahun dan tidak lagi terpengaruh dengan naratif masa lalu Prabowo yang kontroversi.

Beliau didakwa mendalangi penculikan aktivis dan pencabulan hak asasi manusia lain sebagai komander tentera yang digeruni di bawah pimpinan Allahyarham Suharto, yang pernah menjadi bapa mentuanya. - REUTERS

Berita Harian X