Selasa, 6 Februari 2024 | 8:53am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Tiada pembebasan automatik pesalah jenayah seksual, kekerasan

SINGAPURA: Pesalah dalam kes jenayah seksual atau kekerasan yang serius tidak akan dibebaskan secara automatik selepas menjalani hukuman penjara, terutama jika menunjukkan tanda-tanda melakukan kesalahan semula, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Prosedur Jenayah (Pindaan) diluluskan di Parlimen semalam.

Di bawah RUU itu, terdapat kira-kira 20 pindaan, termasuk pengenalan undang-undang Hukuman untuk Perlindungan Awam Dipertingkat (Sepp) dan rangka kerja perundangan untuk pemeriksaan perubatan forensik.

Dengan pelaksanaan Sepp, Menteri Dalam Negeri, dengan nasihat lembaga semakan tahanan akan memutuskan sama ada pesalah yang dijatuhkan hukuman sesuai untuk dibebaskan, kata Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam.

Memetik laporan The Straits Times, Sepp terhad kepada mereka yang melakukan kesalahan ganas yang serius seperti pembunuhan dan cubaan membunuh serta kesalahan seksual yang serius seperti rogol.

Dengan kelulusan RUU, tertuduh yang dikehendaki mengambil bahagian dalam pemeriksaan perubatan forensik tetapi enggan tanpa alasan munasabah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Ia terdiri daripada pemeriksaan perubatan fizikal dan pengumpulan sampel daripada mana-mana bahagian badan, serta pengambilan gambar dan kesan bahagian badan yang mungkin termasuk bahagian sulit.

Bacaan kedua RUU itu dibahaskan 15 Ahli Parlimen selama lebih tiga jam.

Shanmugam; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling dan Setiausaha Parlimen Kanan bagi Undang-Undang, Rahayu Mahzam menyampaikan ucapan mereka mengenai RUU itu semalam sebelum ia diluluskan.

"Kami telah berunding dengan agak meluas dalam menyediakan RUU ini," kata Shanmugam sambil menambah pindaan itu akan membantu mengukuhkan sistem keadilan jenayah. - AGENSI

Berita Harian X