Isnin, 5 Februari 2024 | 10:16am
Enam remaja dibawa ke Mahkamah Jenayah, Ratchadaphisek Road pada 1 Februari 2024 selepas dituduh menikam maut seorang pelajar di hadapan Institut Teknologi Pathumwan Bangkok 26 Januari 2023. - Foto ihsan Khaosod
Enam remaja dibawa ke Mahkamah Jenayah, Ratchadaphisek Road pada 1 Februari 2024 selepas dituduh menikam maut seorang pelajar di hadapan Institut Teknologi Pathumwan Bangkok 26 Januari 2023. - Foto ihsan Khaosod

Remaja Thai lebih ganas akibat masyarakat lemah - Pakar

BANGKOK: Ramai penganalisis sosial di Thailand beranggapan masyarakat di negara itu mendorong kanak-kanak ke arah keganasan.

Ia berikutan beberapa kes keganasan berlaku dalam kalangan golongan muda di Thailand baru-baru ini seperti kes seorang remaja berusia 14 tahun yang melepaskan tembakan di pusat beli-belah, mengakibatkan kematian tiga mangsa.

Selain itu kes lima kanak-kanak menyerang dan menanam hidup-hidup seorang wanita gelandangan berusia 47 tahun; pelajar yang membunuh rakan sekelas dan seorang lagi pelajar menikam rakan sekelas sehingga maut juga mendapat perhatian.

Menurut statistik Jabatan Perlindungan Kanak-Kanak dan Belia, 12,000 kes kanak-kanak dan remaja melakukan kesalahan jenayah dilaporkan dalam tempoh 2022-2023.

Lebih separuh daripada pesalah menamatkan sekolah menengah dan kebanyakannya datang daripada institusi kekeluargaan yang rosak.

Pakar pendidikan, Sompong Jitradub, berkata masyarakat Thai sedang membesarkan kanak-kanak dengan cara yang pasti akan membawa kerugian jika masalah tidak ditangani.

Beliau berkata tidak cukup dengan hanya menguatkuasakan undang-undang lebih ketat, sebaliknya, masyarakat Thai mesti menghalang daripada melahirkan anak tidak berkualiti.

Katanya, sistem kekeluargaan lemah apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan kerja dan memanjakan anak-anak dengan gajet mahal seperti telefon pintar dan bukannya menghabiskan masa bersama.

Ditambah pula dengan ketidakcukupan dalam sistem pendidikan, yang mana guru dibebani dengan beban tugas berlebihan, kanak-kanak terabai sebagai individu.

Memetik laporan portal Khaosod, sikap acuh tak acuh atau pengabaian orang ramai terhadap kanak-kanak berpunca daripada normalisasi usikan, buli dan ejekan pada masa lalu.

Walaupun tingkah laku sedemikian pernah dianggap boleh diterima, ia kini dilihat sebagai tidak wajar kerana kanak-kanak hari ini mempunyai rasa keperibadian yang lebih kuat, yang dipergiatkan oleh sekatan akibat pandemik COVID-19.

Pengasingan itu menyebabkan penggunaan telefon pintar yang berlebihan, mendedahkan mereka kepada kandungan yang ganas dan tidak sesuai.

Selain itu, akses mudah kepada dadah seperti ganja, methamphetamine dan rokok elektronik di sekitar sekolah menyumbang kepada kecenderungan mereka kepada keganasan.

"Sebagai seorang yang bekerja dengan kanak-kanak selama 30 tahun, saya dapat melihat generasi baharu kanak-kanak secara beransur-ansur membentuk kumpulan samseng sehingga menimbulkan masalah dan keresahan di mana-mana.

"Ini kerana sistem persekolahan kekurangan fleksibiliti dan ruang untuk kanak-kanak meluahkan perasaan dan berehat. Ia telah menjadi ruang yang dipenuhi dengan kuasa dan peraturan. Oleh itu, adalah mustahil untuk mana-mana kementerian atau jabatan kerajaan sahaja menangani isu ini. Kerajaan mungkin perlu memikul tanggungjawab dan menangani masalah ini dengan serius," katanya.

Sementara itu Pengarah Institut Pembangunan Kanak-kanak dan Keluarga Kebangsaan di Universiti Mahidol, Prof Adisak Plitponkarnpim, menjelaskan tingkah laku agresif dalam kalangan kanak-kanak lazimnya dibahagikan kepada dua kategori: mereka yang mencari perhatian dan mereka yang bertindak balas terhadap ancaman. Yang pertama selalunya berkaitan dengan tekanan rakan sebaya dan keinginan untuk menguasai, manakala yang kedua berpunca daripada perasaan terancam dan bertindak balas dengan ganas.

Punca tingkah laku agresif ini boleh dikesan kembali kepada tiga faktor utama: kecenderungan genetik akibat perkembangan otak yang tidak normal, didikan dan pengaruh luaran seperti media, dadah dan persaingan akademik, yang memusnahkan kegembiraan semula jadi zaman kanak-kanak dan menghalang pemikiran kreatif.

"Terdapat 700,000 hingga 800,000 kanak-kanak menggunakan rokok elektronik berbanding 70,000 tahun lalu".

Beliau berkata ini adalah faktor persekitaran yang penting yang berkorelasi dengan tingkah laku agresif dan boleh berlaku pada kanak-kanak yang membesar dalam keluarga yang kaya atau miskin.

Katanya, pada masa ini terdapat trend tingkah laku ganas yang semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak, walaupun beberapa kes berkemungkinan kekal tersembunyi dan masih belum didedahkan. - AGENSI

Berita Harian X