Sabtu, 3 Februari 2024 | 2:51pm
Kakitangan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menguruskan pelarian Rohingya di Lapang Barat, Aceh, Indonesia. - Foto AFP
Kakitangan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menguruskan pelarian Rohingya di Lapang Barat, Aceh, Indonesia. - Foto AFP

Berita palsu, kebencian bangkitkan sentimen anti-Rohingya Indonesia

JAKARTA: Video anti-Rohingya yang tersebar sejak akhir tahun lalu di media sosial Indonesia meraih lebih 90 juta tontonan di TikTok hanya pada November.

Sebaran berita itu, baik yang benar atau sebaliknya, menyemarakkan sentimen anti Rohingya di Indonesia, dengan kerajaan berdepan tekanan hebat untuk segera mengusir mereka.

Menurut penganalisis TikTok di Bandung Fe Institute, Hokky Situngkir, ia bermula selepas beberapa media tempatan melaporkan ketibaan Rohingya dengan tajuk sensasi.

Laporan-laporan itu menggambarkan kebanyakan umat Islam Rohingya sebagai penjenayah dengan sikap buruk, dengan pemimpin masyarakat Indonesia mengukuhkan naratif itu.

Beberapa pengguna TikTok berkongsi semula artikel dan video sensasi, yang kemudiannya membantu menjana lebih banyak tontonan dan pulangan wang.

Pelarian Rohingya yang diselamatkan nelayan ditunda oleh bot peronda dekat Pantai Seunuddon, Aceh Utara, Indonesia. - Foto REUTERS
Pelarian Rohingya yang diselamatkan nelayan ditunda oleh bot peronda dekat Pantai Seunuddon, Aceh Utara, Indonesia. - Foto REUTERS

"Kadang-kadang apabila ia terlalu sensasi dan besar, ia ditokok tambah menjadi maklumat salah," kata Situngkir kepada AFP.

Pada Disember, ratusan pelajar universiti memasuki dewan majlis kerajaan di Banda Aceh yang menempatkan kira-kira 137 etnik Rohingya dengan menjerit, menendang barang-barang pelarian dan menuntut mereka dihantar pulang.

Pelarian itu kemudiannya dipindahkan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

"Serangan itu bukan tindakan terpencil tetapi hasil daripada kempen dalam talian yang diselaraskan dengan maklumat salah, maklumat tidak betul dan ucapan kebencian," kata UNHCR).

Di TikTok, komen daripada puluhan akaun UNHCR palsu membanjiri video Rohingya.

Kanak-kanak Rohingya bermain di pantai Pulau Sabang, Aceh, Indonesia. - Foto AFP
Kanak-kanak Rohingya bermain di pantai Pulau Sabang, Aceh, Indonesia. - Foto AFP

Satu hantaran media sosial itu berkongsi laporan Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, sedang mempertimbangkan untuk memindahkan pelarian ke sebuah pulau, dilayari tiga juta kali tontonan.

Akaun yang disahkan, meninggalkan komen, "Tidak! Lebih baik mengusir mereka, tiada guna melindungi mereka".

Sementara itu, penganalisis untuk pemantau media sosial, Drone Emprit, Ismail Fahmi, memberitahu AFP, naratif itu 'nampak selaras' tetapi disampaikan seolah-olah 'berlaku secara semulajadi'.

Katanya, kempen itu bermula dengan siaran daripada akaun tanpa nama, dan kemudian beberapa pengguna dengan pengikut yang ramai membalas dengan mesej anti-Rohingya, menjadikan naratif itu kelihatan menjadi ikutan.

Pelajar universiti memegang kain rentang ditulis ‘Tolak Rohingya’ ketika tunjuk perasaan membantah kemasukan etnik itu ke Indonesia. - Foto AFP
Pelajar universiti memegang kain rentang ditulis ‘Tolak Rohingya’ ketika tunjuk perasaan membantah kemasukan etnik itu ke Indonesia. - Foto AFP

Beberapa video yang paling banyak ditonton menjaja maklumat salah menunjukkan bot sesak yang mendakwa ia bot membawa Rohingya ke Indonesia.

Rakaman itu, yang ditonton berjuta kali di TikTok, sebenarnya penumpang feri di laluan domestik Bangladesh, menurut siasatan Semakan Fakta AFP.

Video itu dimuat naik di TikTok dan platform video Snack, kemudian disiarkan semula di laman media sosial lain seperti Facebook dan oleh saluran media tempatan dengan jutaan pengikut meningkatkan jangkauan maklumat salah, hasil pemantauan pasukan Semak Fakta AFP.

AFP bersama lebih daripada 100 pertubuhan pemeriksa fakta, dibayar oleh TikTok dan pemilik induknya, Facebook Meta untuk mengesahkan video yang berpotensi mengandungi maklumat palsu.

Pelarian Rohingya yang tidak dibenarkan mendarat di Pineung, Aceh, Indonesia. - Foto AFP
Pelarian Rohingya yang tidak dibenarkan mendarat di Pineung, Aceh, Indonesia. - Foto AFP

Setakat ini, kedua-dua platform itu menolak permintaan AFP untuk menjawab pertanyaan.

Terdapat juga beberapa video dan komen berkaitan dengan pilihan raya presiden pada 14 Februari ini.

Ada yang mengejek calon Anies Baswedan, mengatakan beliau menyokong Rohingya kerana mengesyorkan mereka ditempatkan 'di tempat berasingan' untuk mengelakkan konflik.

Sementara yang lain memuji calon pendahulu merangkap Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, yang berkata Indonesia harus 'mengutamakan rakyat sendiri'.

Namun, dalam beberapa perbahasan presiden setakat ini, calon-calon itu tidak menyebut mengenai penghijrahan Rohingya.

Bagi sesetengah orang di Aceh, perasaan anti-Rohingya berpunca daripada kekecewaan kerana kurangnya usaha kerajaan bagi menanganinya.

Namun, ada yang mempersoalkan kesahihan video berikutan ada berpendapat dengan teknologi sekarang, mungkin terdapat kecerdasan buatan (AI) atau robot digunakan. - AFP

Berita Harian X