Jumaat, 2 Februari 2024 | 10:49am
Calon Naib Presiden Indonesia, Mahfud MD, yang meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Keselamatan Indonesia. - Foto AFP
Calon Naib Presiden Indonesia, Mahfud MD, yang meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Keselamatan Indonesia. - Foto AFP

Mahfud MD letak jawatan kerana Jokowi tidak berkecuali dalam PRU Indonesia

JAKARTA: Calon Naib Presiden, Mahfud MD, dilaporkan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Keselamatan Indonesia selepas beliau melihat Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) campur tangan dalam pilihan raya umum (PRU) Indonesia.

Difahamkan, tindakan itu didorong oleh perbuatan Jokowi menyokong Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, yang bertanding bersama anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, dalam PRU yang akan datang.

Andi Widjajanto, pegawai kanan untuk seorang lagi calon pemilihan presiden, Ganjar Pranowo, memberitahu Reuters: "Mahfud fikir Presiden semakin tidak berkecuali dalam PRU, Presiden jelas menunjukkan beliau berpihak".

Mahfud adalah pasangan bekas gabenor wilayah, Ganjar, yang menentang bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan, yang berganding dengan Muhaimin Iskandar.

Gandingan Prabowo-Gibran dipercayai sedang mendahului saingan.

Menurut pasukan Ganjar-Mahfud, sokongan Jokowi terhadap Prabowo mengubah dinamik politik negara itu dan terdapat pertembungan nilai-nilai politik yang tidak dapat diterima di antara dirinya dengan pentadbiran pemerintah.

Calon presiden lain mendakwa Jokowi menggunakan kemudahan negara untuk membantu Prabowo dan anaknya meraih kemenangan.

Namun sehingga kini, Jokowi tidak mengeluarkan ulasan berkenaan dakwaan itu.

Minggu lalu, beliau berkata seorang presiden berhak berkempen untuk mana-mana calon selagi ia tidak menggunakan kemudahan negara.

Andi berkata, Kabinet Jokowi 'tidak lagi kondusif untuk bekerja' bagi Mahfud kerana beliau dan beberapa menteri lain tidak terbabit dalam proses membuat keputusan berkaitan jawatannya.

Jokowi juga mengakui bahawa Mahfud telah menulis surat peletakan jawatan untuk diserahkan kepada beliau sebaik pertemuan ditentukan. "Itu adalah hak beliau," kata Jokowi, seperti yang dipetik Tempo.Co.

"Hari ini saya ada bawa surat untuk diserahkan terus kepada Presiden mengenai masa depan politik saya. Surat ini akan diserahkan sebaik sahaja saya mendapat jadual bertemu Presiden," kata Mahfud.

Mahfud menganggap penting mencari masa yang sesuai untuk menyerahkan terus surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keselamatan kepada Jokowi.

Alasannya, kerana beliau dilantik oleh Jokowi sendiri secara terhormat dan amanah.

"Saya diberi kepercayaan olehnya secara serius dan saya juga memberi kepercayaan kepadanya untuk menugaskan saya.

"Jadi, saya bekerja dengan teliti dan insya-Allah, kedua-duanya dalam tempoh empat setengah tahun ini. Insya-Allah, ia akan menjadi baik," katanya.

Sementara itu, pihak Istana Presiden tidak pula memberitahu di mana pertemuan itu akan diadakan.

Pada 31 Januari, Mahfud mengumumkan rancangannya untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet, semasa tampil di program ceramah, Tabrak Prof, di Aceh.

Jokowi melakukan lawatan kerja ke Yogyakarta dan Jawa Tengah sejak hujung minggu lalu dan dijadualkan pulang ke Jakarta pada 1 Februari.

Hubungan antara Jokowi dengan parti pemerintah itu dilaporkan tegang baru-baru, ini selepas anak sulungnya itu berganding dengan Prabowo sebagai calon naib presiden dalam pemilihan presiden yang akan diadakan pada 14 Februari 2024.

Sementara itu, dalam satu perkembangan berasingan, Almas Tsaqibbirru mencetuskan kontroversi lagi.

Selepas berjaya memimpin Gibran mara ke Pilihan Raya Presiden dengan semakan kehakiman yang diberikan oleh Mahkamah Perlembagaan, pemuda itu kini menyaman anak sulung Jokowi, kerana gagal menunaikan kewajipannya sebagai Datuk Bandar Solo.

Almas pernah mengemukakan saman terhadap Gibran atas kes yang sama pada 22 Januari, tetapi hakim menolak samannya itu. - AGENSI

Berita Harian X