Rabu, 31 Januari 2024 | 1:06pm
Kawasan perairan Beting Scarborough di laut China Selatan yang dituntut China. - Foto AFP
Kawasan perairan Beting Scarborough di laut China Selatan yang dituntut China. - Foto AFP

China dakwa ada hak kedaulatan ke atas Beting Scarborough

BEIJING: China mengisytiharkan memiliki kedaulatan yang tidak dapat dipertikaikan ke atas Beting Scarborough dan perairan bersebelahannya, dan sentiasa tegas menentang pencerobohannya.

Jurucakap Pengawal Pantai China dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Selasa, menegaskan pendiriannya dan merujuk secara khusus kepada 'pencerobohan' terbaru Filipina.

Jurucakap itu berkata, empat anggota Filipina menceroboh secara haram di kawasan tertentu pada 28 Januari lalu dan Pengawal Pantai memberi amaran mengarahkan mereka keluar, mengikut undang-undang.

Menurut kenyataan itu, interaksi itu dilakukan secara 'profesional dan standard'.

Tuduhan dan perselisihan sering berlaku antara kedua-dua negara sepanjang tahun lalu berhubung wilayah perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, menimbulkan kemarahan negara jiran yang mempertikaikan beberapa sempadan yang dikatakan termasuk dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) mereka.

"Pengawal Pantai China, seperti biasa akan mempertahankan dan menguatkuasa undang-undang di perairan di bawah bidang kuasa negara itu," kata kenyataan itu, memetik jurucakap berkenaan.

China secara rutin melakukan rondaan di Laut China Selatan, walaupun ketika ketegangan memuncak antaranya dan Filipina, yang baru-baru ini menjalankan rondaan tentera di rantau itu bersama sekutunya, Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengundang kemarahan China.

China menuntut kedaulatan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, tuntutan yang turut membabitkan EEZ Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Jurucakap itu juga berkata, Pengawal Pantai akan melindungi dengan tegas kedaulatan negara dan hak serta kepentingan maritim.

Hubungan antara Filipina dan China tegang di bawah pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr, yang menuduh China berkelakuan agresif, manakala Manila melihat kepada hubungan yang lebih rapat dengan AS.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Filipina, Jonathan Malaya, hari ini, berkata tuntutan kedaulatan China yang berulang kali ke atas Beting Scarborough Shoal di Laut China Selatan tiada asas di bawah undang-undang antarabangsa.

"Filipina melaksanakan hak kedaulatan ke atas Bajo de Masinloc (nama Filipina bagi Beting Scarborough) dan perairan sekitarnya di bawah undang-undang antarabangsa.

"Justeru, hanya Filipina yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan fungsi penguatkuasaan undang-undang maritim dengan mengecualikan negara lain," katanya dalam satu kenyataan. - REUTERS

Berita Harian X