Selasa, 30 Januari 2024 | 2:19pm
Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

Marcos Jr, Duterte berbalah di khalayak umum

MANILA: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, melemparkan pelbagai dakwaan terhadap Presiden Ferdinand Marcos Jr, malah membangkitkan kemungkinan dia dipecat daripada jawatannya.

Ahad lalu, Duterte, dalam ucapan yang kasar bahasanya dan penuh kata-kata mencarut, mendakwa sekumpulan wakil rakyat menyokong Marcos Jr merancang meminda Perlembagaan bagi menarik balik had penggal jawatan Presiden Filipina.

Tempoh khidmat jawatan Presiden Filipina adalah dihadkan hanya satu penggal iaitu selama enam tahun.

Duterte memberi amaran tindakan itu boleh menyebabkan dia digulingkan seperti bapanya, mendiang diktator Ferdinand Marcos, malah Duterte juga menuduh Marcos Jr sebagai penagih dadah.

Marcos Jr sebaliknya mendakwa sebenarnya Duterte adalah penagih kerana banyak menggunakan fentanyl.

Pada 2016, Duterte mengakui pernah menggunakan fentanyl untuk mengurangkan kesakitan akibat kecederaan tulang belakang selepas kemalangan motosikal.

Beliau bagaimanapun tidak mengakui menggunakan dadah itu secara berterusan.

"Saya fikir ini adalah 'fentanyl yang bercakap', fentanyl adalah ubat tahan sakit paling kuat yang boleh anda beli. Selepas lima, enam tahun, ia sudah tentu memberi kesan kepadanya... saya rasa inilah yang berlaku," kata Marcos Jr.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. - Foto AFP
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. - Foto AFP

Ahli Dewan Rakyat Filipina kini sedang membincangkan mengenai pindaan Perlembagaan dan Duterte mendakwa penggubal undang-undang yang menyokong Marcos, termasuk Speaker Dewan Rakyat, Martin Romualdez.

Menurutnya, Romualdez merasuah pegawai tempatan untuk meminda Perlembagaan 1987 bagi menghapuskan had penggal presiden supaya mereka boleh melanjutkan cengkaman kuasa.

Romualdez yang juga sepupu Marcos Jr, menafikan dakwaan itu dan berkata beliau mahu Perlembagaan dipinda hanya untuk menghapuskan sekatan ke atas pelaburan asing.

Marcos berkata beliau terbuka untuk meminda peruntukan ekonomi dalam Perlembagaan tetapi menentang perubahan klausa yang menyekat pemilikan tanah asing dan industri kritikal lain seperti media.

Bantahan terhadap pindaan Perlembagaan turut disuarakan oleh Dewan Negara, yang mengeluarkan kenyataan minggu lalu memberi amaran peranannya untuk semak dan imbang boleh terjejas.

Ini dikhuatiri berlaku jika Dewan Rakyat meneruskan rancangan melakukan pindaan dalam sesi bersama dan bukannya secara pengundian berasingan di Dewan Negara yang mempunyai 24 anggota dan Dewan Rakyat yang mempunyai 316 anggota.

Perlembagaan 1987, yang sarat dengan klausa perlindungan untuk menghalang pemerintahan diktator, berkuat kuasa setahun selepas bapa Marcos Jr digulingkan.

Dia diusir susulan pemberontakan 'kuasa rakyat' yang disokong tentera, ketika tuduhan merompak, penyelewengan dan pencabulan hak asasi manusia terhadapnya semakin meningkat.

Perbalahan terbuka Marcos Jr-Duterte itu mengesahkan perselisihan politik antara mereka, biarpun anak perempuan Duterte, Sara adalah Naib Presiden Filipina sekarang susulan kemenangan besar pada pemilihan 2022.

Kedua-dua pemimpin itu lelaki itu mempunyai perbezaan mengenai dasar luar negara.

Marcos Jr dan Duterte juga mempunyai dasar luar yang berbeza, di mana Duterte memupuk hubungan mesra dengan Presiden China, Xi Jinping dan pemimpin Russia, Vladimir Putin semasa memegang jawatan.

Sementara itu, Marcos Jr pula dilihat melencong ke arah Washington untuk sokongan kerana pertikaian wilayah dengan China di Laut China Selatan. - REUTERS

Berita Harian X