Jumaat, 26 Januari 2024 | 4:29pm
Sebanyak 20 tanduk badak sumbu ditemui dalam dua bagasi transit menuju ke Laos. - Foto AGENSI
Sebanyak 20 tanduk badak sumbu ditemui dalam dua bagasi transit menuju ke Laos. - Foto AGENSI

Warga Afrika Selatan dipenjara 24 bulan kerana seludup 34.7kg tanduk badak sumbu

SINGAPURA: Seorang lelaki Afrika Selatan berusia 33 tahun dijatuhi hukuman penjara 24 bulan hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport) (ESA) kerana transit di Singapura dengan tanduk badak sumbu tanpa permit yang sah.

"Ia adalah hukuman paling berat yang dijatuhkan di Singapura setakat ini bagi kes yang membabitkan penyeludupan bahagian hidupan liar," menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan.

Pada 4 Oktober 2022, NParks merampas 20 tanduk badak sumbu yang diseludup melalui Lapangan Terbang Changi Singapura.

Bahagian keselamatan lapangan terbang dan Unit K9 NParks mengesan dan memeriksa dua bagasi dan menemui 34.7 kilogram (kg) tanduk badak sumbu, dengan anggaran nilai borong kira-kira S$1,200,140.79 (AS$843,210/RM3.9 juta).

Tertuduh, Gumede Sthembiso Joel, yang dalam perjalanan dari Afrika Selatan ke Laos melalui Singapura, ditahan dan NParks merampas tanduk badak sumbu itu.

Semasa siasatan, NParks dengan sokongan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Pasukan Polis Singapura dan INTERPOL, menugaskan pegawai mereka ke Afrika Selatan untuk membuat siasatan lanjut dan memperoleh analisis bukti.

Siasatan bersama pelbagai negara itu menunjukkan bahawa tertuduh bersama seorang lagi warga Afrika Selatan, Jaycee Israel Marvatona, yang diketahui tertuduh terbabit dalam perdagangan haram tanduk badak sumbu.

Pada atau sebelum September 2022, Jaycee meminta tertuduh mengangkut tanduk badak dari Afrika Selatan ke Laos melalui Singapura.

Tertuduh bersetuju berbuat demikian dan sebagai balasan, dia mendapat tiket penerbangan dan wang tunai daripada Jaycee.

Pada pagi 3 Oktober 2022, tertuduh mematuhi arahan Jaycee dan terus mendaftar masuk bagasi sebelum menaiki penerbangan ke Singapura.

Selepas pemeriksaan oleh Pusat Forensik Hidupan Liar NParks, 18 tanduk dikenal pasti daripada 15 Badak Putih berbeza (Ceratotherium simum), manakala baki dua tanduk dikenal pasti daripada seekor Badak Hitam (Diceros bicornis).

Badak sumbu adalah spesies yang dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) dan perdagangan antarabangsa tanduk badak adalah dilarang.

Di bawah ESA, penalti bagi pemilikan spesies Lampiran I berjadual CITES yang transit melalui Singapura tanpa permit CITES yang sah boleh didenda tidak melebihi S$50,000 bagi setiap spesies berjadual dalam transit di Singapura (tidak melebihi S$500,000) dan atau penjara sehingga dua tahun.

Singapura adalah penandatangan CITES. - BERNAMA

Berita Harian X