Jumaat, 26 Januari 2024 | 9:38am
 Foto REUTERS
Foto REUTERS

Jangan bawa anak ke kempen pilihan raya, kata Naib Presiden Indonesia

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, semalam mengingatkan penyokong parti politik supaya tidak membabitkan kanak-kanak dalam program kempen Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024.

Beliau menggesa orang ramai cuba memahami rasional di sebalik peraturan yang melarang kanak-kanak mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti politik, termasuk kempen pilihan raya.

"Adalah berbahaya jika kanak-kanak dibawa (ke acara kempen)," katanya yang dilaporkan portal antaranews.com.

Amin berkata, kanak-kanak yang tidak berada pada usia yang boleh memahami politik boleh mengalami trauma jika terlibat dalam aktiviti kempen pilihan raya.

Menurut Fasal 280 Perenggan (2), Undang-Undang Nombor 7 2017 mengenai PEMILU, pelaksana dan/atau pasukan kempen dilarang membabitkan warga negara Indonesia yang tidak memiliki hak memilih dalam kegiatan kempen mereka.

Undang-Undang Nombor 35 2014 mengenai Pindaan Undang-Undang Nombor 23 2002 mengenai Perlindungan Anak juga menyatakan kanak-kanak tidak boleh terlibat dalam kegiatan politik.

Terdahulu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) bagi hak sivil dan kebebasan, Sylvana Maria, memaklumkan pihaknya menerima aduan termasuk mengenai penggunaan kanak-kanak sebagai jurucakap calon, ketika tempoh berkempen pilihan raya.

Sepuluh aduan telah dibuat terhadap calon perundangan dan pasukan calon presiden dan naib presiden setakat ini, kata Maria di Jakarta pada Isnin lalu.

"Selain itu, kanak-kanak juga menjadi antara sasaran kempen. Kempen disasarkan kepada ibu bapa, tetapi kanak-kanak disasarkan dengan memberi mereka barangan yang bukan alat kempen," katanya.

Satu lagi aduan yang kerap kepada KPAI ialah mengenai kanak-kanak dijadikan objek politik wang atau pembelian undi oleh calon perundangan.

Selain itu, suruhanjaya menerima maklumat berhubung kandungan viral yang menunjukkan kanak-kanak berkongsi pendapat mereka mengenai calon tertentu.

Indonesia akan mengadakan PEMILU 2024 pada 14 Februari ini, yang mana kira-kira 204.8 juta pengundi dijangka mengambil bahagian.

Tempoh berkempen untuk pilihan raya bermula 28 November lalu dan akan berakhir pada 10 Februari ini. - AGENSI

Berita Harian X