Isnin, 22 Januari 2024 | 9:49am
- Foto ihsan Yayasan Freeland via Khaosodenglish.com
- Foto ihsan Yayasan Freeland via Khaosodenglish.com

Harimau 'dwi kewarganegaraan'

CHUMPHON, THAILAND: Tiga harimau dianggap berstatus 'dwi kewarganegaraan' apabila ditemui bebas berkeliaran mencari makanan di sempadan Thailand dan Myanmar.

Menurut pegawai perlindungan hidupan liar di Taman Jabatan Tentera Laut Diraja Chumphon (Bahagian Utara Bawah) Wilayah Chumphon, habitat harimau di tiga hutan dalam kawasan itu sudah meluas sehingga ke Myanmar.

Sebelum ini, harimau berkenaan dikesan hanya berkeliaran di kawasan Hutan Duang Charoen, Neon Thong dan Chong Khamiew dekat daerah Tha Sae, wilayah Chumphon.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, Atthaphon Charoenchansa, berkata penemuan itu hasil kerjasama dengan Yayasan Freeland.

Beliau berkata kajian yang dijalankan berkisar taburan populasi harimau di kawasan Pergunungan Tenasserim di sebelah Thailand dan Myanmar membabitkan kawasan Taman Negara Lunja.

Menurut portal berita khaosodenglish.com, penemuan tiga harimau yang berkeliaran di kedua-dua belah negara dikesan pihak Thailand, yang memasang sebanyak 24 kamera di kawasan itu.

Justeru, Pejabat Pemuliharaan Hidupan Liar akan menyiasat berapa lama harimau terbabit sudah berkeliaran di antara kedua-dua negara untuk mengetahui maklumat lanjut.

Pada 12 Januari lalu, Taman Negara Kaeng Krachan di Wilayah Phetchaburi mengumumkan penemuan harimau baharu di hutan tadahan air Phetchaburi.

Penemuan itu, katanya hasil kajian hidupan liar menerusi pemasangan kamera yang dijalankan bermula 8 dan 11 Januari lalu.

Harimau itu dipercayai masih muda dan tidak diketahui jantina, diberi kod pengenalan KTT-004.

Berdasarkan penilaian populasi harimau liar menggunakan teknik penilaian khusus dan pengecaman corak melalui perangkap kamera automatik yang dipasang di 1,200 kawasan di 28 kawasan perlindungan pada 2022, apabila sekitar 148 hingga 189 harimau ditemui.

Ia adalah peningkatan daripada statistik direkodkan pada 2020, yang mana sekitar 130 hingga 160 harimau ditemui.

Pusat Santuari Hidupan Liar Thungyai Naresuan dan Huai Kha Khaeong merekodkan populasi harimau paling padat dengan 103 hingga 131 ekor.

Kerajaan Thailand menerima pakai Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan 2022-2034 dengan tujuan meningkatkan standard perlindungan untuk habitat utama harimau di Kompleks Hutan Barat dan Dong Phayayen-Khao Yai.

Pelan sama turut menggariskan usaha untuk mempercepat pemulihan populasi harimau dan mangsa di habitat sasaran, merangkumi kawasan Kompleks Hutan Kaeng Krachan, Phu Kieo-Nam Nao dan Khlong Saeng-Khao Sok. - AGENSI

Berita Harian X