Rabu, 17 Januari 2024 | 10:07pm
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - Foto REUTERS
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - Foto REUTERS

Thaksin layak mendapat parol bulan depan

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang dipenjarakan layak untuk dibebaskan dengan parol bulan depan kerana usia dan kesihatannya, menurut seorang pegawai jabatan pembetulan, hari ini.

Jutawan Thaksin, 74, dimasukkan ke hospital akibat tekanan darah tinggi dan sesak dada, beberapa jam selepas kepulangannya ke Thailand pada Ogos lalu, sejak 15 tahun dalam buangan sendiri untuk menjalani hukuman lapan tahun kerana salah guna kuasa.

Hukumannya diringankan kepada setahun selepas pengampunan diraja.

Jabatan pembetulan minggu lalu melanjutkan tempoh penginapannya di hospital polis, dengan alasan keperluan untuk memantau kesihatannya.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembetulan, Sitthi Sutivong, berkata berdasarkan kriteria, Thaksin layak mendapat parol khas.

Sitthi berkata, pihaknya masih belum menerima permintaan rasmi daripada Penjara Reman Bangkok untuk parolnya.

Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera 2006 dan berada di tengah-tengah pergolakan selama 17 tahun di Thailand, mempengaruhi politik dari buangan.

Beliau yang juga bekas taikun telekomunikasi dan pemilik kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dituduh oleh tentera kerana rasuah, kronisme dan salah guna kuasa.

Thaksin dijatuhkan hukuman penjara tanpa kehadiran pada 2008.

Adiknya, Yingluck Shinawatra, digulingkan sebagai perdana menteri dalam satu lagi rampasan kuasa tentera pada 2014.

Thaksin menerima sambutan sekembalinya ke Thailand pada Ogos, dengan orang ramai bersorak menyambut ketibaannya dengan jet peribadi dan anggota polis memberi tabik hormat kepadanya sebelum mengiringinya ke mahkamah dan kemudian dipenjarakan.

Pada hari yang sama, sekutunya dan mogul hartanah, Srettha Thavisin dipilih sebagai Perdana Menteri oleh Parlimen.

Thaksin sebelum ini berulang kali menafikan masih dalam politik dan mengatakan beliau sudah bersara. - REUTERS

Berita Harian X