Selasa, 16 Januari 2024 | 5:06pm
Defendan semasa perbicaraan di wilayah Dak Lak Vietnam. - Foto AFP
Defendan semasa perbicaraan di wilayah Dak Lak Vietnam. - Foto AFP

Hampir 100 orang dibicarakan untuk keganasan selepas serangan senjata api

HANOI: Sekumpulan etnik minority Dega dibicarakan di Vietnam hari ini, atas tuduhan melakukan keganasan berikutan serangan senjata api yang mengorbankan sembilan orang di Tanah Tinggi Tengah negara itu pada Jun tahun lalu.

Pada perbicaraan hari ini, 98 orang didakwa dengan keganasan, seorang menyembunyikan penjenayah dan seorang lagi menjadi pengantara pendatang haram, lapor akhbar Tuoi Tre yang dikendalikan kerajaan.

Enam daripada tertuduh sedang dibicarakan tanpa kehadiran dan berada di bawah waran tangkap antarabangsa.

"Kes itu amat serius kerana pengganas bertujuan untuk menggulingkan negeri dan menubuhkan apa yang dipanggil negara Dega," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Dak Lak, H'Yim Kdoh, menurut laporan Tuoi Tre.

Dega adalah satu kumpulan etnik minoriti dari Dataran Tinggi Tengah Vietnam, kawasan yang sekian lama menjadi sarang rasa tidak puas hati terhadap isu yang merangkumi hak tanah.

Pada awal pagi 11 Jun tahun lalu, sekumpulan penunggang motosikal menggunakan senjata api dan senjata lain untuk menyerang ibu pejabat politik tempatan dan pejabat polis di daerah Cu Kuin di wilayah Dak Lak.

Akibatnya, sembilan orang terbunuh, termasuk empat pegawai polis, dua pegawai tempatan dan tiga orang awam.

Di Vietnam, individu tidak dibenarkan memiliki senjata api dan keganasan senjata api amat jarang berlaku.

Pihak berkuasa komunis merujuk kepada pengikut Protestantisme di Dataran Tinggi Tengah sebagai "Dega Protestant" ialah kumpulan yang mencari autonomi daripada negeri itu dan dikaitkan dengan buangan politik Montagnard di Amerika Syarikat (AS).

Montagnards adalah nama kolektif untuk pelbagai puak di kawasan itu yang memihak kepada selatan yang disokong AS semasa perang Vietnam selama beberapa dekad.

Ada yang meminta lebih banyak autonomi, sementara yang lain di luar negara menyokong kemerdekaan untuk rantau ini.

Menurut Tuoi Tre, H'Yim berkata, semasa penyiasatan defendan mengaku terhadap pertuduhan itu, tetapi mendakwa mereka dipaksa melakukan serangan itu.

Polis merampas sejumlah 23 senjata api dan senapang, dua bom tangan, 1,199 peluru dan bahan letupan lain berikutan serangan itu disifatkan sebagai "biadab dan tidak berperikemanusiaan".

Perbicaraan dijadualkan selama 10 hari.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman bagi pengganas di Vietnam boleh termasuk hukuman mati. - AFP

Berita Harian X