Isnin, 8 Januari 2024 | 11:17pm
Penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) John Lovell meneliti kawasan panel fiuslaj Penerbangan 1282 Boeing 737-9 Max Alaska Airlines, yang terpaksa melakukan pendaratan cemas. - Foto REUTERS
Penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) John Lovell meneliti kawasan panel fiuslaj Penerbangan 1282 Boeing 737-9 Max Alaska Airlines, yang terpaksa melakukan pendaratan cemas. - Foto REUTERS

Indonesia henti operasi tiga pesawat Boeing 737 MAX 9

JAKARTA: Indonesia menghentikan pengoperasian tiga pesawat Boeing 737 MAX 9 yang dikendalikan oleh Lion Air buat sementara waktu walaupun konfigurasi berbeza daripada pesawat yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, kata kementerian pengangkutan hari ini.​

Pentadbiran penerbangan persekutuan AS (FAA) mengarahkan penggantungan sementara 171 jet Boeing yang dipasang dengan panel yang sama dengan jet Alaska Airlines berusia lapan minggu yang terkoyak pada hari Jumaat, memaksa pendaratan cemas akibat fiuslaj yang robek.

Palam pintu di sebelah kiri jet Alaska Airlines itu tercabut sebaik sahaja pesawat berlepas dari Portland, Oregon ke Ontario, California.

Kejadian itu memaksa juruterbang berpatah balik dan mendarat dengan selamat bersama kesemua 171 penumpang dan enam anak kapal yang berada di dalamnya.

Tiga pesawat Boeing 737 MAX 9, satu-satunya yang dimiliki Indonesia itu digantung bermula dari 6 Januari lalu sehingga diberitahu kelak, kata Adita Irawati, jurucakap kementerian pengangkutan.

Pesawat Lion Air mempunyai "pintu keluar kecemasan pertengahan kabin jenis II" manakala pesawat Alaska Airlines mempunyai "palam pintu keluar tengah", kata Adita.

Ini bermakna sistem di bahagian tengah pintu kecemasan berfungsi dan boleh digunakan untuk pemindahan," tambah Adita.

Kementerian akan berkoordinasi dengan FAA, Boeing dan Lion Air untuk memantau keadaan, sambil menambah bahawa "keselamatan operasi menjadi keutamaan kami."

Jurucakap Lion Air berkata, syarikat penerbangan itu sedang menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas pesawat bagi memastikan mekanisme pintu kecemasan berfungsi seperti biasa. - REUTERS

Berita Harian X