Isnin, 8 Januari 2024 | 12:00pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Filipina minta bantuan penggodam pertahan keselamatan siber

MANILA: Filipina memohon minta bantuan 'penggodam beretika' mempertahankan keselamatan siber negara susulan amaran Amerika Syarikat (AS) mengenai peningkatan ancaman terhadap laman sesawang kerajaan.

Filipina juga mendedahkan ia menghadapi risiko serangan siber tajaan negara tertentu yang disifatkan lebih berbahaya, sambil mengakui berdepan kekangan sumber untuk menanganinya.

Setiausaha Rendah di Jabatan Penerangan dan Komunikasi Teknologi, Jeffrey Ian Dy, berkata adalah sukar untuk meletakkan tuduhan sebarang serangan siber pada satu negara tertentu.

Beliau mendedahkan pihaknya tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk mengendali selain menangani isu berkaitan sehingga terpaksa bekerjasama dengan penggodam 'black hats'.

Katanya, 'black hats' adalah penggodam yang pernah menyerang laman sesawang kerajaan Filipina sebelum ini tetapi kini sedia bekerjasama mempertahankannya daripada serangan siber.

"Pasukan tindak balas siber kerajaan mempunyai 35 ahli, kami kekurangan kakitangan sehingga kadang-kadang terpaksa bekerja dengan penggodam 'black hats' walaupun melanggar etika.

"Penggodam itu mungkin pernah menyerang laman sesawang kerajaan tetapi kini bersedia menawarkan petua mengenai cara menangani ancaman yang semakin berleluasa.

"Adakah kita mempunyai keupayaan dengan hanya 30 orang untuk memantaunya? Kami melakukan yang terbaik untuk mempertahankan negara ini, " katanya sambil menegaskan perlu kira-kira 200 kakitangan untuk tujuan itu.

Menurut laporan firma keselamatan siber AS, Paola Alto Networks, yang diterbitkan November lalu, kumpulan dari China dikenali sebagai 'Stately Taurus' dipersalahkan atas serangan yang menjejaskan operasi agensi kerajaan Filipina selama lima hari.

Menurut pendedahan syarikat keselamatan siber Surfshark, lebih 60,000 akaun pengguna terjejas pada suku ketiga tahun lalu termasuk menyenaraikan Filipina antara 30 negara paling banyak digodam di dunia.

Antara agensi kerajaan yang menjadi mangsa penggodaman adalah syarikat insurans negara, Philippine Health Insurans Corp, yang mengalami kebocoran data yang besar pada September lalu.

Beberapa minggu selepas serangan itu, laman sesawang Dewan Rakyat turut menjadi sasaran penggodam

Selain kekurangan kakitangan, kekangan dana didakwa menjadi punca utama kelemahan keselamatan siber Filipina, yang tidak mempunyai skala gaji kompetitif untuk merekrut dan mengekalkan bakat dalam unit siber agensi kerajaan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan di seluruh dunia memberi amaran mengenai potensi ancaman digital China.

Mengikut penilaian ancaman tahunan terbaharu, Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS mendakwa China mungkin negara paling banyak terbabit dengan ancaman pengintipan siber paling luas, paling aktif dan berterusan terhadap kerajaan AS serta rangkaian sektor swasta.

Pada Mei lalu, agensi perisik United Kingdom (UK) turut memberi amaran mengenai ancaman baharu daripada penggodam warga China.

Sebagai tindak balas terhadap dakwaan itu, Kementerian Luar China menafikan kegiatan itu dengan menyifatkannya sebagai khabar angin dan fitnah yang tidak berasas.

China mendakwa pihaknya juga menjadi mangsa penggodaman, bukan mendalangi serangan siber. Beijing turut menggelar AS sebagai penggodam terkemuka dunia. - AGENSI

Berita Harian X