Sabtu, 6 Januari 2024 | 9:41am
Anggota tentera kumpulan pemberontak etnik, Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA), berkawal selepas merampas bandar Namhsan di negeri di utara Myanmar, Shan, yang bersempadan dengan China. - Foto AFP
Anggota tentera kumpulan pemberontak etnik, Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA), berkawal selepas merampas bandar Namhsan di negeri di utara Myanmar, Shan, yang bersempadan dengan China. - Foto AFP

Pemberontak Myanmar kuasai bandar utama di sempadan China

MYANMAR: Pakatan pemberontak Myanmar mendakwa berjaya menguasai bandar penting di sempadan utara negara dengan China selepas pertempuran sengit berminggu-minggu menentang junta tentera.

Dikenali sebagai 'Perikatan Tiga Bersaudara', kumpulan itu berjaya mengambil alih bandar Laukkai selepas ibu pejabat wilayah tentera Myanmar yang terletak di sana menyerah kalah.

Kejatuhan Laukkai adalah kemenangan terbaru dalam serangan menyeluruh oleh pakatan kumpulan pemberontak bermula Oktober lalu, yang disifatkan ancaman paling ketara kepada kerajaan tentera Myanmar sejak rampasan kuasa 2021.

"Semua wilayah Kokang (Laukkai) sudah menjadi tanah tanpa penguasaan Majlis Tentera Myanmar lagi," menurut kenyataan dikeluarkan pakatan itu manakala jurucakap junta enggan mengulas lanjut.

Perikatan membabitkan tiga kumpulan berpengalaman pertempuran yang luas iaitu Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA) dan Tentera Arakan (AA).

Mereka turut disokong Angkatan Pertahanan Rakyat dan pentadbiran bayangan Myamar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), menunjukkan pemberontakan berada pada tahap penyelarasan dan perancangan yang terancang.

Konflik bersenjata antara tentera dan kumpulan pemberontak semakin meningkat di utara Myanmar sejak akhir Oktober, dengan China menggesa gencatan senjata berikutan perdagangan dua hala terjejas.

Ibu kota wilayah Kokang, Myanmar yang bergolak, Laukkai, mempunyai reputasi sebagai sarang perjudian dan hab untuk operasi penipuan dalam talian.

China, sekutu utama junta tentera, yang turut berhubungan rapat dengan beberapa militan etnik Cina di sepanjang sempadan, kecewa sejak kebelakangan ini kerana kurangnya tindakan junta untuk membanteras pusat penipuan.

Pada permulaan serangan Oktober lalu, 'Perikatan Tiga Bersaudara' berkata, objektif utama mereka termasuk membersihkan pusat penipuan.

Pada akhir Disember, China menggesa rakyatnya meninggalkan kawasan Laukkai, yang juga bekas ibu pejabat MNDAA, atas alasan risiko keselamatan.

Penyerahan Laukkai 'menandakan Perintah Operasi Serantau pertama yang gagal', menurut penganalisis politik, Ye Myo Hein dalam satu catatan di platform media sosial X.

Tentera Myanmar mempunyai lebih sedozen Perintah Operasi Serantau seumpamanya yang tersebar di seluruh negara. - REUTERS

Berita Harian X