Ahad, 31 Disember 2023 | 10:38am
Kanak-kanak pelarian Rohingya menerima makanan sumbangan majlis Ulama Aceh (MPU) di penempatan sementara di ruang bawah tanah sebuah pejabat kerajaan di Banda Aceh, selepas di halau dari pusat perlindungan oleh sekumpulan pelajar universiti. - Foto AFP
Kanak-kanak pelarian Rohingya menerima makanan sumbangan majlis Ulama Aceh (MPU) di penempatan sementara di ruang bawah tanah sebuah pejabat kerajaan di Banda Aceh, selepas di halau dari pusat perlindungan oleh sekumpulan pelajar universiti. - Foto AFP

Polis namakan suspek seludup pelarian Rohingya ke Aceh

JAKARTA: Polis Kota Banda Aceh menamakan dua lagi suspek penyeludupan pelarian Rohingya ke pantai Aceh Besar.

Sebelum ini polis telah menahan seorang suspek dalam kes yang sama.

Dua suspek baru itu ialah MAH, 22 tahun, warga Bangladesh, dan HB, 53 tahun, kelahiran Myanmar, kata Ketua Unit Siasatan Jenayah, Polis Banda Aceh, Fadillah Aditya Pratama, lapor agensi berita rasmi Antara.

Sebelum ini, polis menamakan MA, 35 tahun, warga Myanmar etnik Rohingya, sebagai suspek yang menyeludup 137 orang ke Indonesia.

MA adalah penduduk Kem 1 Blok H-88 Kutupalung, yang merupakan Pusat Perlindungan Etnik Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Ketiga-tiga suspek adalah antara 137 orang yang mendarat di pantai Kampung Lamreh, Daerah Mesjid Raya, Aceh Besar, pada 10 Disember.

Mereka kini tinggal di tempat letak kereta bawah tanah Balai Meuseuraya Aceh (BMA) di Banda Aceh.

Pihak polis percaya bahawa MAH dan HB telah membantu MA menyeludup etnik Rohingya dari Bangladesh ke Indonesia.

terdahulu, penyiasat Polis Aceh Timur turut menamakan tiga pendatang Rohingya sebagai suspek penyeludupan manusia.

Mereka ialah Sajul Islam, 41, yang bertindak sebagai tekong bot; Rubis Ahmad, 42, penolong kapten; dan M Amin, 42, pengendali enjin kapal itu.

Ketua Polis Aceh Timur, Andy Rahmansyah, pada 22 Disember lalu berkata, ketiga-tiga suspek adalah antara 50 etnik Rohingya yang mendarat di kawasan pantai Kampung Seuneubok Baroh pada 14 Disember.

Beliau berkata, pendatang tanpa izin itu melarikan diri dari kem pelarian di Bangladesh.

Mereka terpaksa membayar 300,000 taka atau sekitar Rp42 juta (RM12,500) untuk menaiki bot yang belayar ke Indonesia.

Terdahulu, pemerintah Indonesia dilaporkan menyiasat kaitan antara pemerdagangan manusia dengan peningkatan jumlah ketibaan pelarian Rohingya di beberapa negara.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyuarakan kebimbangan dengan jenayah pemerdagangan manusia dikaitkan dengan peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang memasuki Indonesia, khususnya di Aceh.

Beliau berkata ia komited untuk menangani permasalahan itu dengan langkah-langkah yang ketat.

Indonesia melalui Kementerian Luar juga akan terus bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa untuk menangani isu pelarian Rohingya. - AGENSI

Berita Harian X