Sabtu, 30 Disember 2023 | 5:54pm
Sebanyak 109,282 isi rumah di Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun telah terjejas akibat banjir sejak 22 Disember. - Foto BERNAMA
Sebanyak 109,282 isi rumah di Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun telah terjejas akibat banjir sejak 22 Disember. - Foto BERNAMA

Korban banjir di selatan Thailand meningkat kepada 12 orang

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 12 nyawa terkorban akibat banjir besar yang melanda selatan Thailand manakala lebih 18,000 keluarga di wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala masih terjejas.

Kementerian Kesihatan Awam melaporkan bahawa lapan orang maut di Narathiwat, tiga di Yala dan seorang di Pattani.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM), Chaiwat Junthirapong dalam satu kenyataan berkata, sehingga 6 pagi (waktu tempatan) hari ini sebanyak 18,783 keluarga di 34 daerah di Pattani, Narathiwat dan Yala masih terjejas.

Beliau berkata, daripada jumlah penduduk yang terjejas itu, di Pattani membabitkan seramai 9,632 keluarga, di Narathiwat (9,029 keluarga) dan Yala (122 keluarga).

Chaiwat berkata, pihak berkuasa tempatan telah menghantar kakitangan dan jentera, termasuk pam air dan pengorek kaut hidraulik ke kawasan terjejas.

"Anggota pasukan itu sedang gigih untuk mengalirkan air banjir dan menjalankan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Beliau berkata, pegawai juga sedang membuat tinjauan di kawasan yang dilanda banjir untuk menilai kerosakan rumah, infrastruktur dan tanah pertanian.

Sementara itu, media tempatan melaporkan keadaan banjir di Pattani masih belum pulih akibat daripada limpahan air Sungai Pattani dan Sungai Sai Buri.

Selain itu, premis perniagaan dan rumah di bandar itu turut ditenggelami banjir.

Penduduk di Pattani berkata, air berada pada paras tertinggi dalam tempoh kira-kira lima dekad di sepanjang Sungai Sai Buri.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam Cholnan Srikaew berkata, 34 pusat perkhidmatan kesihatan awam telah ditutup iaitu 12 di Yala dan masing-masing 11 di Narathiwat dan Pattani.

Beliau berkata, sejumlah 43 pusat pemindahan telah dibuka di seluruh wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala bagi menyediakan perlindungan kepada 7,000 penduduk yang terjejas.

Sejak banjir mula melanda selatan Thailand pada 22 Disember lalu, bencana itu telah menjejaskan 109,282 keluarga di lima wilayah – Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun.

- BERNAMA

Berita Harian X