Khamis, 28 Disember 2023 | 9:06am
Barang rosak selepas rumah ditenggelami banjir di Mueang, Narathiwat, semalam. - Foto AFP
Barang rosak selepas rumah ditenggelami banjir di Mueang, Narathiwat, semalam. - Foto AFP

Hampir 70,000 penduduk selatan Thailand terkesan banjir

BANGKOK: Kira-kira 70,000 isi rumah terjejas dan enam orang maut berikutan banjir di selatan Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana, Chaiwat Junthirapong, berkata seramai 68,941 isi rumah di 32 daerah di lima wilayah selatan, Narathiwat, Pattani, Yala, Satun, dan Songkhla - terjejas akibat banjir itu.

Wilayah Narathiwat paling teruk terjejas melibatkan 39,604 isi rumah di 457 kampung dalam 13 daerah, manakala di Yala, 18,340 isi rumah di 298 kampung di tujuh daerah ditenggelami air.

Di Pattani, 8,360 isi rumah terjejas, manakala di Satun dan Songkhla masing-masing melibatkan 1,801 dan 836 isi rumah.

AFP melaporkan enam orang, termasuk seorang wanita berusia 89 tahun dan seorang kanak-kanak, lemas, dan pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian seorang lagi yang hilang akibat banjir di Narathiwat.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, semasa lawatan ke Narathiwat yang dilanda banjir pada Selasa, berkata kerajaan akan segera memberi bantuan.

Beliau mahu semua agensi setempat menyampaikan bekalan kecemasan dan bantuan kewangan kepada mangsa banjir, selain mengarahkan usaha untuk menangani situasi banjir yang sedang berlaku. – BERNAMA

Penduduk memasukkan makanan dan bungkusan untuk mangsa banjir di Narathiwat, semalam. - Foto AFP
Penduduk memasukkan makanan dan bungkusan untuk mangsa banjir di Narathiwat, semalam. - Foto AFP

Berita Harian X