Rabu, 20 Disember 2023 | 10:09pm
Bangunan tentera Myanmar yang terbakar dalam pertempuran antara kumpulan etnik minoriti, tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA) di bandar Namhsan, di negeri Shan, utara Myanmar. - Foto AFP
Bangunan tentera Myanmar yang terbakar dalam pertempuran antara kumpulan etnik minoriti, tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA) di bandar Namhsan, di negeri Shan, utara Myanmar. - Foto AFP

Pertempuran bertambah sengit di negeri Rakhine, Myanmar

YANGON: Tentera Myanmar mengarahkan serangan udara dan pengeboman terhadap kumpulan bersenjata etnik minoriti di sebuah pulau menempatkan projek pelabuhan laut dalam yang disokong China bernilai bilion dolar.

Pertempuran semakin sengit sejak sebulan lalu di negeri Rakhine selepas Tentera Arakan (AA) melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya bermula sejak rampasan kuasa junta tentera pada 2021.

Pertempuran itu mewujudkan satu lagi pakatan pejuang pemberontak dipanggil 'Persekutuan Tiga Persaudaraan' yang turut merangkumi AA di utara Myanmar.

Semalam, sebuah kapal tentera laut mengebom bandar Ramree di pulau Ramree, dan media melaporkan orang awam terbunuh dan cedera, yang turut disahkan perikatan itu di saluran Telegramnya.

Semasa pertempuran dengan AA di kawasan sama pada Isnin, junta tentera mengarahkan serangan udara dan melepaskan tembakan dari kapal tentera laut, manakala AA berjaya merampas peralatan tentera berikutan pertempuran Isnin lalu.

Pulau Ramree adalah pangkalan kepada pelabuhan laut dalam disokong China, yang apabila siap nanti, akan berfungsi sebagai pintu masuk Beijing ke Lautan Hindi.

Pelabuhan yang dirancang berhampiran Kyaukphyu, kira-kira 50 kilometer dari pekan Ramree, adalah pusat projek Koridor Ekonomi China-Myanmar (CMEC) dalam visi Jalur dan Jalan global China.

Pembinaan di pelabuhan dan zon ekonomi khas berdekatan sudah terhenti susulan pergolakan di negeri Rakhine.

Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa melarang semua bot nelayan dan pengangkutan dari perairan sekitar Kyaukphyu sehingga Februari tahun depan.

Minggu lalu, AA berjaya merampas tiga pangkalan tentera di negeri jiran Chin berhampiran sempadan dengan Bangladesh.

Lebih 110,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran baru-baru ini di negeri Chin dan Rakhine, menurut PBB.

AA sudah bertahun-tahun berperang untuk mendapatkan autonomi penduduk etnik Rakhine berhampiran sempadan Bangladesh.

Pertempuran antara AA dan tentera pada 2019 menyebabkan lebih 200,000 orang kehilangan tempat tinggal di seluruh negeri Rakhine, yang menempatkan kira-kira satu juta orang. - AFP

Berita Harian X