Ahad, 17 Disember 2023 | 4:00pm
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, pada salah satu sesi sidang kemuncak ASEAN-Jepun. - Foto AFP
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, pada salah satu sesi sidang kemuncak ASEAN-Jepun. - Foto AFP

Filipina mahu teroka sumber minyak dan gas di Laut China Selatan

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, berkata negaranya sedang berusaha menyelesaikan 'isu penerokaan' di Laut China Selatan untuk memulakan perolehan sumber tenaga baharu bagi memenuhi keperluan negaranya.

Semalam, Marcos dalam temu bual dengan media Jepun berkata, ketegangan di Laut China Selatan 'semakin meningkat dan bukannya berkurangan' sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan 'China yang lebih agresif' menimbulkan 'cabaran sebenar' kepada negara jiran Asia yang lain.

Filipina dan China sudah menyambung semula perbincangan mengenai penerokaan sumber minyak dan gas secara bersama di Laut China Selatan.

Bagaimanapun, katanya terlalu sedikit kemajuan dicapai dalam rundingan setakat ini, mendorong Filipina meneroka peluang kerjasama baharu.

"Kita masih menemui jalan buntu sekarang," katanya sambil menekankan hak Filipina untuk memanfaatkan rizab tenaga di Laut Filipina Barat bagi kurangkan pergantungan kepada bahan api fosil serta arang batu dan beralih kepada cecair gas asli.

Manila merujuk kepada bahagian Laut China Selatan yang berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) miliknya sebagai Laut Filipina Barat.

Usaha mencari cara yang sah dari segi undang-undang untuk bekerjasama dalam penerokaan tenaga, tergendala berulang kali, dengan pentadbiran terdahulu meninggalkan perbincangan pada Jun tahun lalu dengan memetik kekangan Perlembagaan dan isu kedaulatan.

Marcos berkata, kesemua negara perlu menekankan keamanan dan meneruskan komunikasi bagi menyelesaikan perbezaan sesama negara serantau supaya boleh bersatu menghadapi cabaran China yang memerlukan 'penyelesaian baharu'. - REUTERS

Berita Harian X