Ahad, 17 Disember 2023 | 2:36pm
Kapal Pengawal Pantai China (kanan) menembak meriam air ke arah kapal pengangkut milik Filipina, M/L Kalayaan (kiri) ketika misi menghantar bekalan ke Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto AFP
Kapal Pengawal Pantai China (kanan) menembak meriam air ke arah kapal pengangkut milik Filipina, M/L Kalayaan (kiri) ketika misi menghantar bekalan ke Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto AFP

Ketegangan di Laut China Selatan meningkat ketara - Filipina

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menegaskan ketegangan di Laut China Selatan meningkat dengan ketara dan tidak menunjukkan tanda akan berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan 'China yang lebih agresif' menimbulkan 'cabaran sebenar' kepada negara jiran lain di Asia.

Dalam temu bual dengan media Jepun semalam, Marcos Jr menekankan keperluan untuk menjalin pakatan kuat dengan sekutu yang berfikiran sama, seperti kerjasama tiga hala antara Filipina, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

"Malangnya, kita terpaksa akui ketegangan meningkat dan bukannya berkurangan sejak beberapa bulan lalu atau tahun lalu," katanya ketika menghadiri sidang kemuncak ASEAN-Jepun Tokyo.

Sebelum ini, Manila dan Beijing saling menuding jari berhubung perlanggaran kapal berhampiran beting di Laut China Selatan, ketika ketegangan berhubung tuntutan di laluan penting itu memuncak.

Selain Filipina, anggota ASEAN lain, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei turut mengemukakan tuntutan, namun China menuntut hampir keseluruhan lautan itu, yang menjadi laluan kapal dagang penting bernilai lebih AS$3 trilion (RM14 trilion) setahun.

Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 berkata tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang. Keputusan itu disokong AS, namun ditolak oleh Beijing.

Marcos Jr berkata, kesemua negara perlu menekankan keamanan dan meneruskan komunikasi kerana cabaran yang dikemukakan China memerlukan 'penyelesaian baharu'.

Filipina dan Jepun memulakan perbincangan mengenai perjanjian akses timbal balik yang akan membenarkan penempatan pasukan tentera di negara masing-masing, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu.

tambah Marcos Jr, Jepun juga mempunyai pertikaian maritim dengan China tetapi tidak mencukupi hanya sekadar Jepun dan Filipina untuk memeterai perjanjian itu.

"Kita mesti benar-benar menyediakan lebih banyak strategi serantau seperti ini," katanya. - REUTERS

Berita Harian X