Rabu, 13 Disember 2023 | 11:59pm
Tiga calon presiden Indonesia, Anies Baswedan (kanan), Ganjar Pranowo (tengah) dan Prabowo Subianto bertegur sapa selepas debat pertama pemilihan presiden di pekarangan Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) di Jakarta. - Foto AFP
Tiga calon presiden Indonesia, Anies Baswedan (kanan), Ganjar Pranowo (tengah) dan Prabowo Subianto bertegur sapa selepas debat pertama pemilihan presiden di pekarangan Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) di Jakarta. - Foto AFP

Debat pertama Pilihan Raya Presiden Indonesia gamat

JAKARTA: Debat pertama calon presiden yang berlangsung pada malam 12 Disember mempamerkan kemahiran berpidato ketiga-tiga calon dan dapat disaksikan oleh orang ramai melalui siaran televisyen ke seluruh Indonesia.

Debat presiden pertama di pekarangan Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) di Jakarta itu memberi tumpuan kepada pelbagai isu semasa.

Antara lain, ia membabitkan tadbir urus, undang-undang dan hak asasi manusia, pembasmian rasuah, pengukuhan demokrasi, penambahbaikan perkhidmatan awam dan mewujudkan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Pasangan calon presiden dan naib presiden pertama, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar; pasangan kedua, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka; dan pasangan ketigaa, Ganjar Pranowo-Mahfud MD menghadiri debat pertama.

Empat lagi pusingan perbahasan dijadualkan berlangsung pada 22 Disember 2023, 7 Januari 2024, 21 Januari dan 4 Februari.

Calon presiden Ganjar Pranowo, menggariskan visinya untuk membangunkan Indonesia dengan memastikan akses dan pekerjaan sama rata untuk semua rakyat.

"Kami mahu membina sebuah negara yang hebat dengan sumber manusia yang unggul, tetapi adakah kami memberi mereka perhatian yang sepatutnya?" tanya beliau semasa debat pertama calon presiden itu.

Ganjar berkata visi pembangunan sama rata menjadi tema kempennya yang bermula di Merauke, Papua, manakala pasangannya, Mahfud MD memulakan kempennya di Sabang, Aceh.

Ganjar berkata, dalam lawatannya ke Nusa Tenggara Timur (NTT), beliau bertemu dengan belia tempatan yang menghadapi kesukaran mengakses Internet untuk belajar dan mencari pekerjaan.

Pertemuan itu memberi inspirasi kepadanya untuk menawarkan akses Internet percuma kepada pelajar, sebagai sebahagian daripada usaha menzahirkan pembangunan sumber manusia yang sama rata di seluruh negara.

Di samping itu, beliau juga berjanji memperjuangkan hak orang kurang upaya, memastikan akses mereka, dan menampung keperluan mereka, sekali gus membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara.

Ganjar juga dipetik agensi berita rasmi Antara sebagai berkata, usaha meningkatkan mutu sumber manusia, tidak terlepas daripada peranan guru termasuk guru agama dan guru al-Quran.

Beliau berkata bahawa peranan pendidik adalah penting, untuk membina moral generasi masa depan negara.

"Kami memberi tumpuan kepada guru termasuk guru agama dengan memberi insentif kepada mereka untuk mengajar berakhlak mulia mengikut agama," katanya.

Prabowo Subianto, memberikan jawapan penuh semangat, kepada soalan mengenai isu hak asasi manusia dan keganasan di Papua, semasa debat tersebut.

Beliau menggunakan gerakan tubuh, berulang kali memberi isyarat dengan penumbuk, malah meniru beberapa gerakan pencak silat semasa perbahasan.

Beliau bersungguh-sungguh menentang hujah pencabarnya, Ganjar dan Anies, mengenai isu hak asasi manusia dan keganasan di Papua.

Walaupun masanya sudah tamat, beliau terus bercakap, menimbulkan ketawa dan tepukan daripada penyokongnya.

"Tunggu sekejap!" Prabowo memberitahu penyokongnya, meminta mereka tidak bertepuk tangan supaya beliau boleh meneruskan hujahnya.

Berhubung isu hak asasi manusia dan keganasan di Papua, beliau berkata bahawa kemunculan gerakan pemisah semakin meningkat, dengan disyaki penglibatan asing.

Beliau kemudian menggariskan strateginya untuk menyelesaikan keganasan, termasuk langkah seperti menguatkuasakan undang-undang, mengukuhkan kakitangan, dan memperkukuh pembangunan ekonomi.

Ganjar dalam jawapannya berkata bahawa dialog diperlukan untuk menangani keganasan Papua sementara Anies, menyatakan punca keganasan di Papua ialah ketiadaan keadilan.

Prabowo berkata beliau bersetuju dengan Ganjar dan Anies, tetapi menegaskan bahawa keadaan di Papua lebih rumit daripada yang dilihat.

"Memang kita perlukan keadilan, tetapi keadaannya lebih rumit daripada itu," katanya kepada Anies yang membalas dengan senyuman.

Prabowo berkata terdapat cabaran geopolitik dan ideologi, dalam menyelesaikan ketidakadilan di Papua.

"Ini adalah masalah negara kita. Kita perlu mengumpul semua kuasa," katanya.

Anies pula, ketika menyampaikan visi dan misinya pada debat pertama pemilihan presiden 2024, berjanji untuk menegakkan undang-undang untuk semua rakyat, tanpa diskriminasi.

Katanya, beliau percaya bahawa mereka yang memegang kuasa dan pihak berkuasa, mesti memastikan penguatkuasaan undang-undang yang adil lagi saksama.

Bagaimanapun, tambahnya, banyak peraturan telah digunakan untuk memajukan kepentingan pihak tertentu.

"Adakah kita akan membiarkan ini (undang-undang yang tidak dikuatkuasakan) terus berlaku? Tidak, ini mesti diubah. Kita mesti memulihkan ini (undang-undang)," tegasnya.

Katanya, apa yang dikatakan trend negatif 'undang-undang ke bawah, lebih besar daripada undang-undang ke atas' masih melanda Indonesia dan itu mesti dihentikan.

"Dengan mengambil kira perkara itu, kami menggalakkan perubahan, termasuk dengan menguatkuasakan undang-undang secara saksama (tanpa diskriminasi) untuk semua orang," tegasnya.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa sebilangan besar bakat negara cuba menyuarakan aspirasi dan kritikan mereka terhadap pemerintah, namun suara mereka sering disambut dengan keganasan.

Justeru itu, Anies menegaskan beliau komited untuk menegakkan dan menguatkuasakan undang-undang, tanpa membeza-bezakan sesiapa daripada mana-mana golongan, termasuk penjawat awam, Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), dan Polis Negara (Polri).

"Kita akan kembalikan maruah kenegaraan yang menjunjung tinggi undang-undang," tegasnya. - AGENSI

Berita Harian X