Rabu, 13 Disember 2023 | 12:48pm
Pelarian Rohingya yang baru tiba menaiki trak untuk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara selepas penduduk kampung mengusir mereka di Banda Aceh pada Isnin lalu. - Foto AFP
Pelarian Rohingya yang baru tiba menaiki trak untuk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara selepas penduduk kampung mengusir mereka di Banda Aceh pada Isnin lalu. - Foto AFP

Aceh bergelut kehadiran pelarian Rohingya terus-menerus sejak November

JAKARTA: Aceh kini sedang bergelut untuk mencari lokasi bagi menampung kira-kira 1,600 pelarian Rohingya selepas kehadiran kumpulan pendatang asing itu terus dibantah penduduk tempatan, ketika Indonesia sedang berusaha untuk membanteras aktiviti penyeludup.

Bot pelarian Rohingya dikesan mendarat di wilayah pantai barat Indonesia sejak bulan lalu, dengan ketibaan terbaru pada hujung minggu lalu.

Ahad lalu, beberapa bot membawa antara 300 dan 400 pelarian muncul di beberapa lokasi di Aceh, sekali gus menimbulkan kemarahan penduduk, yang kemudiannya membawa lebih 100 pelarian yang baru tiba ke Kompleks Pejabat Gabenor Aceh di Banda Aceh sebagai protes.

Pihak berkuasa kemudian memindahkan pelarian itu ke kem pengakap di Kabupaten Pidie, namun penduduk di situ juga membantah hingga memaksa pihak berkuasa menghantar kumpulan pelarian berkenaan kembali ke pejabat Gabenor tengah hari kelmarin.

Laporan mengenai pelarian Rohingya diserang secara fizikal oleh penduduk di Pidie juga timbul sejak itu.

"Tiada satu kawasan yang dikhaskan untuk pelarian Rohingya, terutama ketika jumlahnya meningkat kepada lebih 1,000 orang, malah untuk memenuhi keperluan asas mereka juga sukar," kata Gabenor Sementara Aceh, Achmad Marzuki, seperti yang dipetik portal Kompas.com.

Lebih 1.2 juta pelarian Rohingya kehilangan tempat tinggal di Myanmar sejak keganasan tentera terhadap etnik minoriti itu bermula pada 2017, menyebabkan mereka terdampar di kem pelarian di Cox's Bazar, sebuah bandar di Bangladesh yang kini menempatkan hampir sejuta pelarian Rohingya.

Di Indonesia, Aceh menjadi lokasi utama ketibaan Rohingya kerana terletak secara strategik di hujung paling atas Sumatera, sekali gus menjadikan perjalanan melalui Laut Andama oleh pelarian itu dari Bangladesh agak mudah walaupun Indonesia bukan negara yang menerima pelarian.

Kementerian Luar kelmarin turut mengingatkan negara-negara yang menandatangani konvensyen pelarian supaya meningkatkan dan menunaikan tanggungjawab mereka.

"Kami menyatakan ini adalah tanggungjawab antarabangsa, terutama dalam isu penempatan semula.

"Kami meminta negara-negara yang sudah menandatangani konvensyen antarabangsa supaya meningkatkan usaha mereka dalam kes Rohingya," kata jurucakap kementerian itu, Lalu M Iqbal kepada pemberita, semalam. - AGENSI

Berita Harian X