Selasa, 12 Disember 2023 | 3:52pm
Anggota pengawal pantai Filipina dan anak kapal ML Chowee menurunkan barangan di jeti terapung dekat kepulauan Nanshan dituntut Filipina di Laut China Selatan. - Foto AFP
Anggota pengawal pantai Filipina dan anak kapal ML Chowee menurunkan barangan di jeti terapung dekat kepulauan Nanshan dituntut Filipina di Laut China Selatan. - Foto AFP

Filipina panggil Duta China berkaitan 'gangguan' kapal di Laut China Selatan

MANILA: Kementerian Luar Filipina hari ini memanggil duta China ke Manila bagi membantah 'gangguan berturut-turut' di Laut China Selatan pada hujung minggu lalu.

Menerusi kenyataan kementerian itu, Manila meminta China untuk menghentikan kapalnya daripada melakukan tindakan haram dan gerakan berbahaya terhadap kapal Filipina serta tidak mencampuri aktiviti sah negara berkenaan.

Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Luar Manila, Theresa Lazaro, secara lisan menyampaikan bantahan terhadap gerakan China yang membawa kepada risiko berlanggar.

Beliau juga menentang penggunaan meriam air terhadap kapal Filipina yang menghantar bekalan kepada tentera ditempatkan dalam kapal perang di Beting Thomas Kedua.

Kementerian itu berkata, tindakan kapal China yang berada dalam zon ekonomi eksklusif Filipina itu menyalahi undang-undang dan melanggar kebebasan pelayaran.

Ia juga membantah tindakan China mengguna meriam air terhadap tiga kapal biro perikanan yang dalam perjalanan untuk menghantar minyak dan barangan runcit kepada nelayan berhampiran Beting Scarborough.

Bagaimanapun, setakat ini tiada maklum balas daripada Kedutaan China di Manila untuk mengulas berkaitan isu itu. - REUTERS

Berita Harian X