Isnin, 11 Disember 2023 | 10:26am
Kapal Pengawal Pantai China belayar berhampiran kapal Filipina berhampiran kawasan yang dituntut beberapa negara, semalam. - Foto AFP
Kapal Pengawal Pantai China belayar berhampiran kapal Filipina berhampiran kawasan yang dituntut beberapa negara, semalam. - Foto AFP

Tindakan China jejas kestabilan - AS

MANILA: Amerika Syarikat (AS) meminta China tidak menceroboh kawasan maritim Filipina dan mengelak dari menjejaskan kestabilan rantau itu.

AS mengulangi sokongan kepada sekutunya, Filipina menerusi kenyataan dikongsi oleh Kedutaan AS di Manila hari ini.

Jabatan Negara AS turut mengesahkan komitmen sokongan pertahanan itu mengikut Perjanjian Pertahanan Bersama dengan Filipina.

Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menyatakan kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan negaranya menyalahi undang-undang.

Katanya, tindakan berbahaya China terhadap warga Filipina ialah pelanggaran secara terang-terangan undang-undang antarabangsa.

"Filipina sudah mengukuhkan lagi tekadnya mempertahan serta melindungi hak kedaulatan negara di Laut China Selatan, di tengah-tengah pencerobohan dan provokasi berterusan China," ciap Marcos menerusi X (dulu Twitter) pada Ahad malam, lapor REUTERS.

Sementara itu di Washington, AFP melaporkan AS terus mendesak Beijing menghentikan tindakan berbahaya dan tidak stabil di Laut China Selatan, selepas bot Filipina dan kapal Pengawal Pantai China bertembung berhampiran terumbu dipertikai beberapa negara.

Kedua-dua negara saling menyalahkan selepas kemalangan terbaru berlaku pada semalam.

Perlanggaran itu berlaku ketika misi pembekalan semula oleh kapal Filipina di Beting Second Thomas, Kepulauan Spratly, kawasan pertikaian China dan Filipina.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller dalam kenyataannya mendakwa kapal China menggunakan meriam air dan membuat gerakan melulu, termasuk memaksa perlanggaran, mengakibatkan kerosakan pada kapal Filipina yang menjalankan misi pembekalan ke tempat berkenaan, sekaligus membahayakan keselamatan anak kapalnya.

"Kapal mereka di Beting Scarborough juga menggunakan peranti akustik, melumpuhkan anak kapal Filipina serta menghalau kapal nelayan Filipina.

"Tindakan ini mencerminkan bukan sahaja sikap tidak endah terhadap keselamatan dan mata pencarian rakyat Filipina, tetapi juga kepada undang-undang antarabangsa," katanya.

Ketegangan berpanjangan di antara Manila dan Beijing memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan beberapa kejadian yang melibatkan kapal Filipina dan China, termasuk dua perlanggaran sebelum ini.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk perairan dan pulau berhampiran pantai negara jirannya, sekaligus mengabaikan keputusan tribunal antarabangsa bahawa tuntutannya itu tidak mempunyai asas undang-undang. - AGENSI

China mengeluarkan peta sempadan baru dengan menuntut sebahagian besar kawasan di Laut China Selatan. - Grafik BH
China mengeluarkan peta sempadan baru dengan menuntut sebahagian besar kawasan di Laut China Selatan. - Grafik BH

Berita Harian X