Ahad, 10 Disember 2023 | 2:05pm
Antara pelarian Rohingya yang tiba di Blang Raya, Pidie, wilayah Aceh, Indonesia hari ini. - Foto REUTERS
Antara pelarian Rohingya yang tiba di Blang Raya, Pidie, wilayah Aceh, Indonesia hari ini. - Foto REUTERS

Kira-kira 400 pelarian Rohingya tiba di Indonesia

JAKARTA: Kira-kira 400 etnik Rohingya tiba dengan bot usang di wilayah Aceh, sekali gus menambah peningkatan minoriti Islam Myanmar yang tiba ke negara itu.

Sebelum ketibaan semalam, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata terdapat 1,200 orang Rohingya, tiba di Indonesia sejak November.

Ketua komuniti nelayan Aceh, Miftah Cut Ade, berkata, dua bot mendarat di wilayah itu awal pagi tadi masing-masing satu di daerah Pidie dan Aceh Besar.

"Setiap bot membawa kira-kira 200 Rohingya," katanya.

Seorang pegawai tentera tempatan, Andi Susanto, berkata kira-kira 180 Rohingya tiba di Pidie pada jam 4 pagi (waktu tempatan) dan pegawai sedang menyelaras di lapangan untuk mengumpul data.

Susanto mengesahkan tentera menyedari bot kedua tetapi tidak mempunyai maklumat di mana ia mendarat atau berapa ramai yang berada di atas kapal itu.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam satu kenyataan berkata, beliau mengesyaki penyeludupan manusia berada di sebalik peningkatan bot baru-baru ini dan berjanji akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk menangani isu itu.

Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 mengenai Pelarian tetapi mempunyai sejarah menerima pelarian apabila mereka tiba di pantai negara itu.

Bagaimanapun jumlah ketibaan yang tinggi baru-baru ini menimbulkan tindak balas di media sosial dan beberapa penolakan daripada penduduk di Aceh, wilayah paling barat untuk kebanyakan bot mendarat.

Selama bertahun-tahun, Rohingya meninggalkan Myanmar di mana mereka secara amnya dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan, dinafikan kewarganegaraan dan tertakluk kepada penderaan.

Apabila laut menjadi lebih tenang antara November dan April setiap tahun, anggota minoriti yang teraniaya menuju ke negara jiran Thailand dan Bangladesh, Malaysia dan Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam. - REUTERS

Berita Harian X