Sabtu, 9 Disember 2023 | 6:41pm
Tangkap layar daripada rakaman video yang dikeluarkan Pengawal Pantai Filipina (PCG) melalui AFPTV, hari ini, menunjukkan kapal Pengawal Pantai China (kanan) menggunakan meriam air di atas kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina (BFAR) berhampiran Scarborough Shoal di Laut China Selatan yang dipertikaikan. -AFP
Tangkap layar daripada rakaman video yang dikeluarkan Pengawal Pantai Filipina (PCG) melalui AFPTV, hari ini, menunjukkan kapal Pengawal Pantai China (kanan) menggunakan meriam air di atas kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina (BFAR) berhampiran Scarborough Shoal di Laut China Selatan yang dipertikaikan. -AFP

Filipina tuduh pengawal pantai China tembak meriam air ke arah kapalnya

MANILA: Filipina menuduh pengawal pantai China, hari ini, menggunakan meriam air untuk "menghalang" tiga kapal kerajaan yang menghantar bekalan kepada nelayan Filipina berhampiran terumbu di luar pantainya.

Insiden berlaku berhampiran Scarborough Shoal, di antara Manila dan Beijing yang dikawal China.

Pasukan Petugas Kebangsaan Laut Filipina Barat berkata, dalam satu kenyataan bahawa "kapal Pengawal Pantai China menggunakan meriam air untuk menghalang" kapal kerajaan daripada menghantar bahan api dan bekalan makanan kepada bot nelayan.

Pasukan petugas pelbagai agensi berkata ia "mengutuk sekeras-kerasnya tindakan haram dan agresif yang dilakukan oleh Pengawal Pantai China dan Militia Maritim China."

Tetapi televisyen negara China berkata, pengawal pantai negara itu telah menggunakan "langkah kawalan mengikut undang-undang" terhadap kapal Filipina yang telah "menceroboh" ke dalam perairan sekitar beting.

China merampas kawalan Scarborough Shoal dari Filipina pada 2012 berikutan kebuntuan yang tegang.

Sejak itu, Beijing mengerahkan bot peronda yang dikatakan Manila mengganggu kapal Filipina dan menghalang nelayan Filipina daripada sampai ke lagun, di mana ikan lebih banyak.

Scarborough Shoal terletak 240 kilometer (150 batu) di barat pulau utama Luzon di Filipina dan hampir 900 kilometer dari kawasan daratan China yang paling hampir di Hainan.

Di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982, yang China bantu berunding, negara mempunyai bidang kuasa ke atas sumber asli dalam jarak kira-kira 200 batu nautika (370 kilometer) dari pantai mereka.

Video yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina menunjukkan kapal Pengawal Pantai China menembak meriam air ke kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina (BFAR) dan memukulnya dengan letupan air yang kuat.

Berita Harian X