Sabtu, 9 Disember 2023 | 10:22am
Foto hiasan. - Freepik
Foto hiasan. - Freepik

'Puas Bunda, tx untuk semua', nota lelaki bunuh empat anak

JAKARTA: Polis menahan seorang lelaki dipercayai membunuh empat anaknya yang masih kecil sebelum cuba membunuh diri.

Mayat kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun ditemui Rabu lalu di atas katil di rumah sewa mereka di daerah Jagakarsa di bandar Jakarta Selatan, menurut Jakarta Globe.

Penyiasat menemui nota yang berbunyi 'puas Bunda (puas hati ibu), tx untuk semua'.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jakarta Selatan, Superintendan Bintoro, berkata bapa kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan bogel di dalam tandas dengan kecederaan dilakukan sendiri dan sebilah pisau di tangannya.

"Suspek yang juga bapa kepada mangsa melakukan cubaan membunuh diri dan kini menerima rawatan di hospital," katanya.

Akhbar Jakarta Globe melaporkan suspek menyerang isterinya pada 2 Disember lalu hingga mangsa terpaksa dibawa ke hospital dan meninggalkan anak-anaknya bersendirian dengan bapa mereka.

"Isterinya mengalami lebam di dahi dan muntah darah," menurut jirannya, Titin Rohmah, kepada Jakarta Globe.

Sementara itu, Ketua Polis Jakarta Selatan, Ade Ary Syam Indradi, berkata suspek dibawa untuk disoal siasat selepas dilaporkan menyerang isterinya.

Tetapi dibebaskan kemudian kerana mendakwa tidak ada orang lain untuk menjaga anak-anaknya. - AGENSI

Berita Harian X